Thursday 12 August 2010

A127070 Sakinah LJ04

            Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada Encik Zamri dan rakan-rakan seperjuangan. Pada minggu keempat ini, kami telah belajar perkara baru tentang emosi. Tajuk pada minggu ini ialah emosi negatif. Emosi negatif yang dimaksudkan merangkumi empat komponen iaitu takut, malu, sedih, dan marah. Saya agak tertarik untuk mengikuti kelas ini kerana saya mendapati, isi kandungan kuliah pada minggu ini agak mudah difahami dan memberi manfaat yang baik kepada kita. Hal ini kerana, maklumat dalam kuliah ini menganggu kita untuk mengawal diri kita agar tidak bersedih. Umumnya, manusia perlu sentiasa menikmati kehidupan dan menjauhi diri dari bersedih kerana perbuatan itu seperti menunjukkan kita tidak bersyukur dengan pemberian Tuhan. Sekiranya kita rasa menderita tentang sesuatu, tidak mustahil orang lain lebih menderita seperti mana video yang ditunjukkan kepada kami dalam kuliah kali ini.

            Emosi negatif yang pertama diberitahu oleh pensyarah kami ialah emosi takut. Emosi takut ini adalah reaksi kebimbangan terhadap bahaya. Takut juga adalah satu mekanisme untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pada pandangan saya, semua orang mempunyai perasaan takut termasuklah diri saya. Namun begitu, emosi takut yang terdapat pada setiap orang tidak semestinya pada benda yang sama. Ada orang yang takut dengan benda-benda ghaib, ada orang yang takut menanti saat tibanya ajal, ada orang yang takut dengan guru, dan sebagainya. Terdapat beberapa sebab yang boleh dikaitkan dengan emosi takut. Ia mungkin disebabkan oleh tragedi yang membuatkan seseorang itu trauma seperti claustrophobia (takut kepada sesuatu tempat) dan hydrophobia (takut air). Selain itu, terdapat juga orang yang takut hilang kawalan seperti takut diejek dan dikritik. Contoh lain yang saya tahu adalah, terdapat juga orang yang takut dengan kekotoran kerana pernah mengalami kejadian yang penuh trauma sehingga terlalu teliti dalam melakukan semua kerja.

            Emosi negatif yang seterusnya adalah malu. Malu adalah satu emosi di mana seseorang berdepan dengan keadaan yang tidak diterima oleh masyarakat sama ada besar atau kecil. Keadaan ini juga mungkin disebabkan oleh rasa tergugat dan tercemar. Terdapat dua jenis malu iaitu personal embarrasment (malu yang disebabkan kesilapan peribadi) dan professional embarrasment (malu kerana fakta yang salah atau bercanggah dengan orang yang lebih atas). Saya pasti ramai orang yang selalu berasa malu kerana sesuatu perkara. Saya masih ingat pengalaman saya semasa menaiki tangga di bangunan FSSK. Saya terlalu leka menaiki tangga sehinggakan saya terus menapak ke tangga yang seterusnya sedangkan tangga yang berikutnya menuju ke bumbung bangunan! Malunya saya pada waktu itu, Tuhan sahaja yang tahu. Tambahan lagi, terdapat beberapa pelajar lain yang nampak kejadian itu.

            Di samping itu, emosi sedih juga termasuk dalam emosi negatif. Seseorang yang sedih akan mempamerkan rasa kehilangan dan kekurangan. Namun begitu, kita tidak digalakkan untuk bersedih selalu keran kesedihan melampau akan membawa kepada tekanan. Orang yang sedih cenderung untuk bersikap pendiam dan selalu tunduk. Saya masih ingat peristiwa sedih yang berlaku terhadap adik bongsu saya semasa kucing peliharaan kami mati dilanggar kereta. Kucing peliharaan kami dilanggar di tepi jalan dan kami tidak menyedari hal itu sehingga diberitahu oleh jiran. Adik saya kemudiannya membawa bakul dan mengambil kucing yang tinggal nyawa-nyawa ikan itu. Tidak lama kemudian, kucing itu mati dengan keadaan yang amat menyedihkan. Saya masih ingat waktu di mana adik saya menangis apabila ayah saya menanam kucing itu di belakang rumah. Emosi sedih adik saya ini dapat dikaitkan dengan rasa kehilangan.

            Emosi marah juga merupakan salah satu daripada emosi negatif. Emosi ini terjadi apabila seseorang merasa menderita dan kesakitan. Ia juga disebabkan oleh persepsi konflik, pengkhianatan, tidak adil dan penghinaan. Manusia juga cenderung marah kerana empati terhadap sesuatu. Sebagai contoh, saya merasa marah apabila mengetahui bahawa pinjaman PTPTN kawan saya tidak diluluskan sedangkan dia datang dari keluarga yang susah. Tambahan lagi, bapanya telah meninggal dunia. Emosi marah boleh dikawal dengan menenangkan diri. Hal ini sememangnya perlu kerana dalam Islam sendiri ada menyebut tentang kelemahan orang yang selalu marah. Orang yang marah boleh diibaratkan sebagai orang yang lemah.

            Kesimpulannya, saya beranggapan bahawa isi kandungan bagi kuliah minggu ini sangat baik kerana saya dapt mempelajari dengan lebih mendalam tentang emosi negatif. Malahan, ia mengingatkan saya supaya tidak menanamkan emosi negatif ini dalam diri sendiri. Pada pandangan saya, orang yang sering berdamping dengan emosi negatif ibarat orang yang lemah, tidak mampu mengawal diri, dan juga tidak mempunyai personaliti diri yang baik. Saya harap saya dijauhkan dari tergolong dalam golongan ini. Sekian, terima kasih.

 


No comments:

Post a Comment