Friday 6 August 2010

A127070 Sakinah LJ03

            Minggu ini sudah masuk minggu yang ketiga saya mengikuti kuliah Encik Ahmad Zambri. Saya berasa sangat gembira sebelum menghadiri kelas ini. Bagi saya, kandungan isi kuliah bagi kelas ini sangat menarik dan memberi maklumat yang sangat berguna untuk diri saya. Rupa-rupanya, perasaan gembira yang saya rasakan pada hari ini ada kaitannya dengan tajuk kuliah pada hari ini. Pada minggu ini, tajuk kuliah kami berkaitan dengan emosi positif. Emosi positif yang dimaksudkan ialah gembira, bahagia, dan kasih. Kebahagiaan secara umumnya diterjemahkan ialah emosi yang disampaikan disebabkan perasaan gembira, suka, dan puas.

            Saya tertarik dengan pendapat Epicurean yang mengatakan bahawa kebahagiaan adalah memaksimakan kegembiraan dan meminimumkan kesengsaraan. Bagi saya, pendapat ini sangat menarik dan memberi maksud yang bagus sebagai panduan semua orang. Hal ini kerana, setiap orang perlulah menghilangkan kesengsaraan atau meminimakannnya untuk mengecapi kebahagiaan. Sebagai contoh, seorang pelajar yang berjaya sudah tentunya seorang pelajar yang mampu untuk mengatasi emosi sedihnya dan sentiasa berfikiran positif dalam menjalani kehidupan seharian. Hal ini seterusnya membolehkan pelajar tersebut mendapat keputusan yang cemerlang dan memperoleh kebahagiaan.

            Berdasarkan kajian yang berkaitan, didapati bahawa kebahagiaan berbeza dari satu negara dengan negara yang lain. Tambahan lagi, negara-negara Asia mencatatkan peratus orang memiliki perasaan gembira yang sedikit berbanding negara lain. Negara yang mempunyai ramai penduduk yang gembira ialah di Australia, Eropah, dan Utara Amerika. Oleh yang demikian, kita seharusnya mengambil contoh dari negara lain untuk meningkatkan peratus penduduk yang gembira agar kualiti hidup dapat ditingkatkan. Individu yang mempunyai kebolehan untuk menyelesaikan masalah berkebolehan juga untuk membuatkan diri mereka gembira selalu. Sebagai contoh, golongan profesional sentiasa kelihatan gembira kerana mereka mampu menyelesaikan masalah dan bijak dalam mengatur strategi.

            Di samping itu, saya juga mendapat input bahawa terdapat dua kategori kebahagiaan iaitu kebahagiaan jangka pendek dan kebahagiaan jangka panjang. Kebahagiaan jangka panjang adalah kebahagiaan yang bertahan dalam tempoh yang lama iaitu dari bulan ke bulan dan tahun ke tahun. Contoh kebahagiaan jangka panjang yang saya tahu ialah perkahwinan, pencapaian cemerlang dalam peperiksaan, membuka perniagaan sendiri yang menguntungkan, dan bermacam-macam lagi. Bagi saya, kebahagiaan jangka panjang sangat baik dan berupaya menstabilkan emosi individu terbabit.

            Manakala kebahagiaan jangka pendek pula ialah kebahagiaan yang tidak berkekalan dan tidak bertahan dalam tempoh yang lama. Kebahagiaan ini biasanya disebabkan sikap individu yang tidak berfikir akibat melakukan sesuatu perkara. Sebagai contoh, remaja pada masa kini gemar melakukan seks di luar nikah iaitu kebahagiaan yang hanya sementara kerana kebahagiaan ini tidak akan berpanjangan apabila remaja tersebut mengandung dan melahirkan anak di luar nikah. Walaubagaimanapun, terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa kebahagiaan adalah kebahagiaan jangka pendek dan kebahagiaan jangka panjang.

            Antara perkara yang mendatangkan emosi yang positif ialah jatuh cinta, berjaya dalam peperiksaan, sembuh dari penyakit, pergi bercuti, dan berbaik semula selepas bergaduh. Perkara-perkara ini sememangnya membuatkan seseorang menjadi gembira dan melahirkan emosi yang positif sepanjang masa. Kebahagiaan dan perkahwinan tidak dapat dipisahkan kerana manusia terdorong untuk menzahirkan emosi yang positif apabila melalui alam perkahwinan. Hal ini terjadi kerana perkahwinan biasanya akan menyemai perasaan kasih sayang dan sebagainya. Sebagai contoh, seorang kawan saya telah dikahwinkan dengan calon pilihan ibu dan bapanya. Pada mulanya, dia tidak bersetuju kerana tidak mengenali lelaki terbabit. Namun begitu, setelah beberapa bulan berkahwin, dia kelihatan sangat gembira kerana kasih sayang yang terjalin. Bagi saya, perkahwinan sememangnya mendatangkan kebahagiaan, bukannya orang yang gembira menimbulkan perkahwinan bahagia.

            Faktor lain yang menghasilkan kebahagiaan ialah persahabatan, kerja, kesihatan, rekreasi, dan faktor pernghayatan agama. Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa orang yang beragama lebih gembira berbanding orang yang tidak. Hal ini kerana, orang yang beragama mempunyai panduan hidup yang mampu menunjuk arah dalam menjalani kehidupan seharian. Malahan, kajian yang dilakukan oleh Keith Ward menunjukkan bahawa agama membawa perkembangan positif kepada kesihatan mental.

            Kasih sayang juga pencetus kepada kebahagiaan. Kasih sayang menjadi lebih kuat dengan perasaan suka, ambil berat, dan percaya. Terdapat tiga faktor kasih sayang iaitu komitmen, kesabaran, dan kemesraan. Kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak adalah contoh terbaik dalam menunjukkan kebahagiaan. Sebagai contoh, ibu bapa sentiasa menyayangi anak-anaknya sehingga sanggup bekerja dengan penat lelah untuk memenuhi keperluan anak-anak mereka. Terdapat juga persoalan tentang wang dan kebahagiaan. Pada pandangan saya, wang tidak semestinya menjamin kebahagiaan kerana terdapat juga kes di mana anak-anak tidak dapat meluangkan masa dengan ibu bapa yang sibuk berkerja. Hal ini menyebabkan hubungan menjadi renggang dan masalah sosial berlaku.

            Kesimpulannya, saya ingin memberi pendapat bahawa kebahagiaan adalah hak mutlak setiap individu dan ia bergantung kepada kita sendiri untuk menentukan sama ada kebahagiaan atau kesengsaraan yang menjadi asas dalam kehidupan seharian kita.


No comments:

Post a Comment