Saturday 14 August 2010

A124901 NURUL LJ04

Pada kuliah pengurusan emosi minggu lepas, kami telah mempelajari tajuk 'emosi positif' iaitu mengenai gembira, bahagia dan kasih. Dan pada minggu ini, kami meneruskan kuliah dengan tajuk berlawanan dengan tajuk yang dipelajari pada minggu lepas iaitu 'emosi negatif' yang mana kami mempelajari mengenai takut, malu, sedih dan marah.

Dalam kehidupan yang sudah pastinya mencabar dan pelbagai peristiwa yang dilalui, manusia tidak lari dari mengalami emosi positif atau pun positif, bergantung kepada keadaan dan peristiwa yang dialami. Emosi positif dialami apabila mereka melalui atau berhadapan dengan peristiwa yang bermakna, menggembirakan dan menyeronokkan. Semestinya mereka yang mengalaminya akan sering tersenyum dan ketawa keriangan. Emosi negatif pula dialami apabila mereka berada dalam keadaan tertekan, baru lepas mengalami peristiwa yang menyedihkan, apabila mereka tidak peroleh apa yang diinginkan dan sebagainya. Mereka yang berhadapan dengan emosi negatif selalunya bermurung, termenung, menangis, tidak kurang juga menjadi seorang yang panas baran pada ketika itu.

Berbalik kepada emosi negative yanf dipelajari pada minggu ini, emosi negative terbahagi kepada empat jenis perasaan iaitu takut, malu, sedih dan marah. Seperti yang telah dinyatakan di atas, emosi negatif ini dialami apabila individu berhadapan dengan keadaan mahupun peristiwa yang tidak diingini, membahayakan dan menggangu ketenteraman.

Takut ialah emosi tindak balas terhadap kedatangan bahaya, berkaitan dengan kecemasan atau kerisauan. Perasaan takut ini dialami apabila seseorang berhadapan dengan perkara yang tidak menyenangkan seperti berhadapan dengan penyamun, atau ketakutan kerana duduk berseorangan di waktu malam dan terdengar bunyi-bunyi yang menyeramkan.  Apabila sesorang berasa takut, mereka mungkin akan menggigil ketakutan, atau menangis.  Ada juga yang mungkin sehingga terkencing di dalam seluar jika mereka berada dalam keadaan yang sangat-sangat menakutkan seperti ternampak lembaga yang menakutkan. Perasaan takut ini juga dialami akibat trauma akan sesuatu kejadian. Saya sendiri pernah mengalami perkara ini. Sewaktu saya berusia enam tahun, saya pernah dilanggar oleh sebuah motosikal. Dan apabila saya berusia 17tahun, sekali lagi saya dilanggar oleh motosikal yang saya bonceng, sehingga menyebabkan saya jatuh tercampak. Kedua-dua peristiwa ini member kesan yang tidak baik pada saya iaitu saya agak berasa takut untuk membonceng motosikal. Sehingga kini, saya tidak pernah menunggang motosikal kerana berasa tidak selamat dan trauma saya akan dilanggar lagi.

Malu ialah emosi yang tidak menyenangkan dilalui secara social atau tindakan yang tidak boleh diterima secara professional atau keadaan yang disaksikan oleh atau mendedahkan kepada orang lain. Rasa malu dialami oleh mereka yang tersilap melakukan sesuatu dikhalayak ramai, terjatuh, atau memakain pakaian yang tidak sesuai pasangannya. Apabila individu berasa malu, secara tidak langsung mereka akan menundukkan muka bagi menutup rasa malu, menutup muka, tersengih-sengih atau tidak kurang juga yang menangis. Pengalaman yang memalukan pernah dialami oleh sahabat baik saya sendiri. Pada waktu itu, beliau sedang menuruni anak tangga. Secara tiba-tiba, tanpa disedari beliau terpijak kain baju kurung sehingga beliau jatuh melutut beberapa anak tangga. Hal ini memalukan beliau kerana disaksikan oleh beberapa orang senior yang secara kebetulan sedang melalui kawasan tersebut. Sahabat saya berasa sangat malu dan cara beliau menutup rasa malu tersebut adalah ketawa bersama dengan seorang lagi sahabat yang kebetulan ada bersama dengannya  ketika itu.

Sedih ialah suasana hati yang memaparkan perasaan dari kelemahan dan kerugian. Perasaan sedih yang melampau boleh mendatangkan tekanan dan stress kepada mereka yang mengalaminya. Perasaan sedih dialami apabila seseorang itu kehilangan insane yang disayangi, menenmui kegagalan dalam sesuatu yang diusahakan dan apabila tidak sihat. Mereka yang bersedih selalunya bermurung, tidak ceria dan tidak kurang juga ada yang menangis. Kesedihan boleh dikurangkan dengan meluahkan kepada insan yang dipercayai, berkaraoke, dan berhibur dengan teman-teman yang lain. Menangis juga merupakan salah satu cara yang baik untuk meluahkan dan merawat kesedihan. Dan sebagai umat Islam, kita juga percaya bahawa apabila kita bersedih kerana diuji sesuatu, ubat yang paling menenangkan adalah mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Marah pula ialah respon psikofisiologikal rasa sakit, penderitaan yang dirasakan atau tekanan, atau ancaman. Kemarahan tercetus apabila kehendak tidak tercapai, selain daripada perkara yang berlaku tidak selari dengan apa yang dirancangkan. Kemarahan dialami oleh pelbagai pihak, baik yang tua, mahupun muda. Kemarahan selalunya diiringi dengan kata-kata marah, melenting, menjerit atau tidak kurang juga ada yang melemparkan kata-kata kesat. Kemarahan boleh dikawal dengan mengelakkan diri daripada berada di tempat tersebut dalam waktu yang panjang, selain berwudhuk dan bersolat. Antara tanda-tanda mereka yang sedang dalam kemarahan adalah bernafas dalam keadaan laju, berpeluh, muka kemerah-merahan dan banyak lagi.  Kemarahan yang berlebihan tidak baik untuk kesihatan kerana boleh mengundang penyakit merbahaya seperti penyakit darah tinggi dan sakit jantung.

Setelah mempelajari tajuk emosi negatif ini, sedikit sebanyak saya mampu mengatasi rasa-rasa negatif yang dialami, selain daripada mengenali dan mengetahui dengan lebih mendalam jenis-jenis emosi negatif dan penciriannya.

 


No comments:

Post a Comment