Friday 27 August 2010

A123875 NURUL LJ06

Bismillahirahmanirrahim…

Minggu ini emosiku begitu tidak stabil.  Perasaaan sedih dan risau sentiasa bertandang di kamar hatiku.  Banyak perkara yang bermain difikiranku.  Ku cuba menahan air mata ini supaya tidak keluar, namun akhirnya ia tumpah jua ke bumi.  Deras dan laju.  Teringat kepada ibu di kampung.   Ingin saja aku tinggalkan segalanya di Universiti ini, dan balik ke kampung halamanku. Namun, aku masih waras untuk melakukan semua itu.  Aku masih sedar, belajar adalah amanah dari ibuku.  Oleh sebab itu, walaupun sebesar mana badai yang melanda, walaupun ku terluka dengan sedalam-dalamnya, walaupun aku merasa sedih dan kecewa, aku akan terus berjalan dan berlari di jalan ini. 

Baru-baru ini, berlaku perubahan jadual untuk subjek di fakultiku, dan ia adalah bercanggah dengan dengan masa kuliah pengurusan emosi.  Aku sangat risau akan perkara ini.  Kedua-dua subjek amat penting bagiku.  Setiap kuliah adalah penting.  Aku berada di Tahun 3 dan aku tidak mahu menangguhkan salah satu kursus ke semester hadapan.  Wahai Allah, bantulah hambamu ini..

Minggu ini, ku belajar tentang teori aras adaptasi di dalam kuliah pengurusan emosi.  Sudah banyak yang aku pelajari tentang ilmu pengurusan emosi, namun emosiku masih lagi tidak terurus.  Mengikut teori ini, konsep asasnya adalah seseorang  akan bertindak balas kepada ransangan baru berdasarkan tahap adaptasi seseorang.  Dalam erti kata yang lain, penilaian minda kita akan tentukan emosi kita.  Sebagai contoh, tentang kejadian pelajar mati di kolej kediamanku.  Sewaktu kali pertama ia berlaku pada beberapa tahun lepas, aku merasa sangat terkejut dan takut.  Namun, sewaktu kali yang kedua ia berlaku iaitu pada minggu lepas, aku tidaklah merasa terkejut sepertimana dahulu.  Ini adalah kerana kita boleh mengadaptasi diri kita dengan situasi itu.  Contoh yang lain yang berlaku pada diriku, ialah sewaktu aku menerima duit biasiswa untuk yang pertama kalinya, aku merasakan bahawa duit itu sangat banyak .  Namun, apabila semester berganti semester, aku merasakan bahawa duit itu adalah cukup-cukup untuk kegunaan diriku. Dan kemudian, apabila tahun berganti tahun, aku merasakan bahawa duit itu tidak mencukupi keperluanku.  Ini boleh disimpulkan, bahawa kita merasa gembira sewaktu kali pertama kita menerima duit itu, namun, selepas satu jangka  masa, kita merasa tidak cukup dan inginkan yang lebih lagi.  Ini boleh dikaitkan dengan sifat manusia yang tidak pernah merasa cukup dengan apa yang ada.  Moga ini menjadi peringatan buat diriku dan manusia lain.

Teori Solomon adalah teori hasil dari pengubahsuaian teori aras adaptasi.  Di mana teori Solomon ini dicadangkan oleh Richard Solomon (1980).  Emosi yang dialami secara berulang-ulang akan meningkatkan kekuatan emosi yang berlawanan.  Sebagai contoh, jika seseorang penerjun payung udara merasa takut di awal penerjunannya, selepas berkali-kali pernerjunan, dia akan merasa seronok dan perasaan takut akan mula berkurangan.

Ini jugalah yang ku harapkan akan terjadi kepada diriku.  Walaupun aku sekarang merasa penat dan sedih, namun aku mengharapkan supaya ini semua adalah latihan untuk aku menjadi insan yang tabah dan kuat di masa akan datang.  Amin..  

 


No comments:

Post a Comment