Friday 20 August 2010

A123875 NURUL LJ05

Bismillahirrahmanirrahim..

Hari demi hari, bilangan monyet  di dalam UKM ku lihat bagaikan bertambah-tambah.  Apabila tiba saja waktu petang, ataupun yang lebih tepat lagi dalam lingkungan pukul 5.30-6.00 petang, monyet-monyet mula bertebaran mencari makanan.  Apa yang merisaukan,adalah apabila  monyet-monyet itu masuk ke dalam bilik untuk mengambil makanan, dan lebih menakutkan apabila ia menyerang manusia.  Hari ini (Jumaat) dua bilik yang berdekatan dengan bilikku telah dimasuki monyet.  Monyet-monyet itu kelihatan ganas dan tidak takut walaupun telah dihalau dengan menggunakan penyapu.  Kami pula yang menjadi takut dengan monyet itu.  Lantas aku teringatkan pengalamanku pada semester lepas, di mana bilikku juga telah dimasuki oleh monyet.  Semua bekalan makananku telah diambil oleh monyet yang bertuah itu.   

Situasi ini bolehku kaitkan dengan tajuk kuliah pengurusan emosi yang ku pelajari pada minggu ini.  Di dalam situasi di mana monyet itu memasuki bilik, emosi takut mula bertandang di dalam diri.  Kemudian, semasa ku gagahkan diri untuk menghalau monyet itu, jantungku berdegup dengan laju sekali dan kaki ku menggigil-gigil.  Ini adalah bertepatan dengan Common Sense Theory.  Namun, ia adalah bertentangan dengan James-Lange Theory di mana reaksi tubuh dahulu wujud, kemudian barulah emosi timbul. 

Seperti James-Lange Theory , Cannon-Bard Theory juga adalah salah satu teori fisiologikal, akan tetapi ia mengkritik James-Lange Theory.  Di dalam Cannon-Bard Theory, sistem organ yang mencetuskan emosi di mana ransangan dari dalam atau luaran akan dihantar ke otak kita dan emosi akan dihasilkan.  Sebagai contoh, jika seseorang takut pada ketinggian, dan dia pergi ke bangunan yang tinggi, dia akan rasa emosi takut.  Dan emosi takut itu akan menggerakkan fizikalnya. 

Walaupun kisah monyet-monyet itu merisaukan para pelajar, tetapi ada perkara yang lebih membimbangkan kami.  Kejadian kecurian yang berlaku di kolej-kolej sekitar UKM semakin menjadi-jadi.   Namun apa yang menghairankanku, bagaimana mereka ini begitu tegar untuk melakukan perbuatan jahat itu, sedangkan sekarang adalah bulan Ramadhan, suatu bulan yang manusia secara automatiknya ingin membuat kebaikan dan tinggalkan apa yang tidak disukai oleh Tuhan.  Tetapi, inilah dunia sekarang.  Aku mengakui, manusia sekarang sudah terlalu jauh dari Tuhan, jauh dari landasan agama sehinggakan mereka sanggup melakukan perkara yang dimurkai Tuhan.  Semoga kami, keturunan kami dan sesiapa sahaja yang bersama-sama dengan kami  dilindungi dari perkara-perkara yang Allah murkai. 

Di dalam teori kognitif, terdapat empat pembahagian teori iaitu Schachter's Cognitive Labeling, misattribution, transfer of excitation and cognitive appraisal.  Schachter's Cognitive Labeling adalah di mana peranan pemikiran menlabelkan jenis emosi yang dirasai. Maksud yang lainnya, penterjemahan respon fisikal adalah berdasarkan kepada pengalaman lepas dan situasi.  Contohnya, jika seseorang yang pernah diragut begnya oleh lelaki yang bertanya jalan (situasi), pengalaman lampau (penilaian kognitif) itu menjadi peranan untuk menstimulasikan  emosi takut jika sesiapa sahaja ingin bertanyakan jalan kepadanya.

Di dalam  cognitive appraisal, terbahagi lagi kepada Lazarus' cognitive appraisal dan Arnold cognitive appraisal.  Terdapat coping proses  (cara untuk mengatasi) di dalam Lazarus' cognitive appraisal, sebagai contoh, untuk peperiksaan yang akan datang ini, cara untuk mengatasi rasa risau adalah pertama, dengan meyakinkan diri supaya tidak bimbang (palliation). Kedua, adalah dengan belajar bersungguh-sungguh (direct action).  Sementara itu, Arnold cognitive appraisal pula adalah di mana pengalaman lampau dan jangkaan akan memandu penilaian kita.

"Hidup yang tiada kesusahan bukanlah sebuah kehidupan." Masa-masa di mana kita merasa susah, sakit dan sedih pasti akan datang, namun gunalah pemikiran yang rasional dan hadapilah ia dengan emosi yang positif untuk mengatasinya.  Semoga segala urusan kita dipermudahkannya..


No comments:

Post a Comment