Friday 13 August 2010

A123147 Syuhaidah LJ04

Perbincangan dalam kuliah pada minggu kelima ini adalah melibatkan tentang emosi negatif iaitu takut, malu, sedih dan marah.

            Takut merupakan respon emosi yang tidak menyeronokkan dalam mempersepsi bahaya atau ancaman yang spesifik. Emosi takut juga mempunyai perkaitan dengan kebimbangan. Berdasarkan pembacaan saya tentang emosi asas manusia, Sternberg (1997) mengatakan bahawa takut berperanan sebagai penjaga kerana takut memotivasikan manusia untuk mengelak daripada objek atau situasi yang merbahaya. Sebaliknya, kebimbangan pula merupakan suatu bangkitan emosi yang tidak menyeronokkan adalah respon terhadap persepsi umum mengenai bahaya atau ancaman yang tidak diidentifikasi, tidak difokus ke atas situasi ancaman, tetapi ia mungkin membawa kepada kecelaruan psikologikal yang serius.

            Terdapat beberapa faktor yang menimbulkan emosi takut kepada seseorang. Salah satunya ialah disebabkan oleh kejadian yang menyebabkan individu menjadi trauma. Contohnya, kejadian tsunami yang berlaku pada tahun 2005 dahulu di Acheh, Indonesia. Mangsa tsunami yang berjaya menyelamatkan diri ke kawasan tinggi mengalami trauma yang teruk sehingga takut turun ke kawasan rendah untuk menerima bantuan kerana bimbang bencana itu akan berulang http://www.mvfra.org/Aceh_news4.htm .

            Emosi malu pula berlaku kepada seseorang apabila berdepan dengan tindakan yang tidak dapat diterima yang menyebabkan kemungkinan maruah tercemar, menjatuhkan air muka atau tergugatnya kehormatan, tetapi ia bergantung kepada situasi yang memalukan. Contohnya, pengalaman saya sendiri yang didenda oleh guru berdiri di luar kelas kerana tidak hadir ke kelas tambahan semasa di tingkatan 4 dahulu. Keadaan tersebut menyebabkan saya berasa sangat malu tetapi saya tidak begitu rasa tertekan kerana hampir separuh daripada rakan sekelas saya yang lain juga turut didenda atas kesalahan yang sama. Malu juga dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu individu dan professional. Malu daripada aspek individu ialah berpunca daripada kesilapan diri sendiri seperti keadaan yang berlaku kepada rakan saya yang terjatuh ketika berjalan dihadapan orang ramai. Saya dapat lihat keadaan dirinya yang cuba menyembunyikan perasaan malunya itu dengan bertindak seperti tiada apa-apa yang berlaku kepadanya walaupun pada zahirnya mukanya kelihatan kemerahan kerana menahan perasaan malu kerana ditertawakan. Malu dalam aspek professional pula berlaku dalam keadaan profesional seperti  situasi yang berlaku kepada seseorang yang terkenal kerana tingkah laku mereka mendapat perhatian. Contohnya, seseorang pemimpin yang terlibat dengan rasuah menjadi malu apabila perbuatan mereka terbongkar dan bertindak meletak jawatan.

            Seterusnya emosi sedih pula merujuk kepada keadaan emosi yang mempamerkan rasa kebimbangan. Kesedihan adalah perasaan ketidakgembiraan yang secara relatif adalah tidak teruk tetapi ratapan adalah lebih tajam, mendalam dan selalunya kekal lama. Emosi sedih boleh terhasil daripada perpisahan yang tidak dikehendaki dan selalunya kekal. Perpisahan mungkin daripada objek fizikal, situasi atau orang yang disayangi atau daripada sesuatu perkara seperti kepercayaan peribadi atau kebolehan. Contohnya, keadaan yang berlaku kepada seseorang yang tidak dapat meneruskan kerjaya atau kebolehannya kerana kecacatan yang dialaminya. Begitu juga dengan seseorang yang merasakan dirinya tidak berdaya atau tidak cekap.

            Memetik daripada buku La Tahzan, kesedihan dikatakan membawa kepada penderitaan dan kesedihan  merupakan punca kepada perbuatan membunuh diri. Misalnya, kejahatan yang dilakukan oleh seorang ibu warganegara Jerman yang membunuh ketiga-tiga anaknya dengan kejam. Perasaan sayang kepada anaknya dan kebimbangannya akan mewariskan kepedihan dan tekanan hidup yang dirasainya ketika itu kepada anaknya menyebabkan ibu tersebut membunuh mereka. Kemudian dia membunuh diri sendiri. Ternyata penyebabnya kerana terlalu tertekan dan selalu bersedih.

            Marah pula merupakan suatu respon yang berlaku apabila seseorang berasa kecewa atau dihalang daripada mencapai sesuatu matlamat, terutama jika kekecewaan atau kecederaan dipercayai dikenakan dengan sengaja dan tanpa sebab. Seseorang itu mempamerkan rasa marah samada secara aktif atau pasif. Contohnya, seseorang yang sedang tidur berasa terganggu apabila banyak mendapat panggilan telefon dan individu tersebut menjadi marah. Seseorang itu mungkin menunjukkan reaksi marahnya  secara aktif dengan membaling telefon tersebut atau bertindak pasif dengan memendam perasaannya.  Berdasarkan kajian, lebih kurang 29% ekspresi luaran marah kita tujukan kepada orang yang kita sayang, 24 % terhadap orang yang kita suka, 25% terhadap kawan-kawan, dan hanya 8% terhadap orang yang kita tidak sukai. Manakala terdapat 13% ekspresi marah kita tujukan kepada orang yang tidak dikenali.

            Oleh itu, walaupun terdapat individu yang berpendapat bahawa emosi negatif tidak wajar dimiliki dalam diri seseorang tetapi dalam sesetengah keadaan, emosi negatif juga penting dalam kehidupan seseorang.


No comments:

Post a Comment