Friday 6 August 2010

A122963 Norhafizatulahwa LJ03

Kegembiraan adalah sesuatu yang abstrak, amat sukar untuk dijelaskan tetapi terlalu mudah untuk dirasai. Ini kerana setiap orang pasti mempunyai pandangan yang tersendiri apabila menyebut perkataan GEMBIRA. Dalam kelas Pengurusan Emosi pada minggu ini, para pelajar didedahkan dengan satu tajuk yang amat menarik iaitu emosi positif. Apabila kita menyebut berkenaan emosi positif, sudah tentu kita akan mengaitkannya dengan perasaan gembira. Hal ini demikian, kerana emosi gembira paling mudah untuk dikenali berbanding emosi lain. Kadang-kadang dengan wujudnya sedikit kegembiraan, kita akan melupakan sekejap penderitaan atau kesedihan yang kita alami ketika itu. Malah, ketika kita melihat orang di sekeliling kita bergembira kita juga akan turut tersenyum dan merasakan begitu indahnya dunia ciptaan Allah s.w.t ini.

 

            Menurut pemahaman saya di dalam kelas, kegembiraan adalah suatu perasaan yang menerangkan tentang keseronokan, kesenangan dan kepuasan. Keadaan ini menunjukkan bahawa apabila seseorang itu berasa gembira, dia akan turut berasa senang hati, ceria, dan dapat merasakan kenikmatan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Takrifan kegembiraan mengikut pandangan Aristotle ialah kegembiraan seseorang terhasil daripada kejayaan memperoleh kesenangan. Pada pandangan Plato pula mengatakan bahawa sumber kegembiraan adalah kehidupan baik. Kehidupan baik yang dapat dijelaskan mengikut pandangan saya ialah apabila kita dapat menjalani kehidupan kita mengikut nilai-nilai yang ditetapkan dan tidak melanggar atau melakukan perkara-perkara yang negatif sehingga boleh menghapuskan kegembiraan yang dicipta. Manakala mengikut Epicurien, kegembiraan akan dapat dirasai apabila seseorang dapat memaksimumkan kesenangan dan meminimumkan rasa sakit. Untuk memperolehinya, sudah pastilah kita perlu sentiasa bertindak secara positif dan mengelakkan perbuatan-perbuatan yang boleh mendatangkan keburukan kepada diri serta menjejaskan emosi kita. Walau pelbagai pendapat telah dicetuskan namun, kegembiraan yang dirasai oleh seseorang itu terletak pada diri sendiri yang merasainya sahaja. Adakalanya, dengan hanya berlaku suatu peristiwa kecil dalam hidup tetapi jika seseorang itu menganggapnya sebagai sesuatu yang istimewa maka orang tersebut boleh menganggap dirinya mencapai suatu kegembiraan yang tidak terhingga. Bagi diri saya sendiri, saat yang paling menggembirakan saya adalah apabila melihat senyuman manis kedua ibu bapa saya apabila mengetahui saya dapat memasuki universiti. Pada ketika itu saya berasa sangat bahagia kerana dapat memberikan kegembiraan kepada kedua ibu bapa saya dan saya berjanji pada diri saya sendiri supaya saya tidak sesekali akan mengecewakan mereka.

 

            Terdapat dua komponen dalam menentukan kebahagiaan atau kegembiraan seseorang iaitu Long term affective states dan Short term affective states. Keadaan emosi jangka masa panjang dapat dilihat melalui kestabilan emosi seseorang sejak dari kecil sehingga sekarang. Sebagai contoh, jika kita mempunyai keluarga yang bahagia dan tidak menghadapi konflik maka kehidupan kita juga akan menjadi baik dan emosi kita juga tidak mudah terganggu. Kita juga pasti akan dapat menghadapi situasi yang sukar dalam keadaan yang tenang dan dapat menyelesaikannya secara rasional. Manakala keadaan emosi jangka masa pendek pula berdasarkan sesuatu peristiwa atau situasi yang dialami pada sesuatu masa seperti gagal dalam peperiksaan atau mendapat anugerah cemerlang dalam pembelajaran dan sebagainya. Keadaan-keadaan tersebut akan mempengaruhi emosi kita sama ada menjadi positif atau negatif.

 

            Selain itu, terdapat kajian yang mengaitkan kebahagiaan dengan perkahwinan. Kebanyakan individu yang sudah berkahwin akan berasa lebih gembira berbanding individu yang belum berkahwin. Bagi diri saya sendiri, walaupun saya belum merasai alam perkahwinan itu sendiri tetapi saya dapat menbayangkan alam perkahwinan itu adalah sesuatu yang dapat memberikan keseronokan dan kebahagiaan pada diri kerana kita dapat berkongsi apa sahaja dengan pasangan kita dan kita tidak perlu bimbang tentang keselamatan kita kerana ada seseorang yang dapat menjaga dan melindungi kita. Tambahan pula dengan kehadiran anak-anak yang sudah pasti akan menambahkan keceriaan dalam sesebuah perhubungan itu. Di samping itu, terdapat faktor lain yang menyumbang kepada kebahagiaan iaitu seperti kesihatan yang baik, persahabatan, pekerjaan yang boleh menjamin masa depan, dan yang paling utama ialah faktor penghayatan agama. Ini kerana, jika seseorang amat berpegang teguh pada agamanya sudah pasti dia akan senang memperoleh ketenangan dan kedamaian yang akhirnya membawa kepada kebagiaan dalam kehidupan yang dijalaninya.

 

            Oleh itu, carilah kebahagiaan dalam kehidupan kita yang singkat ini dan teruskan perjuangan untuk mencipta kejayaan-kejayaan yang sudah pasti akan menjanjikan kebahagiaan yang kekal abadi. Jangan mudah berputus asa dan bersedih apabila menemui kegagalan kerana dengan adanya usaha yang bersungguh-sungguh untuk bangkit kembali dari kegagalan tersebut sudah pasti kegembiraan yang akan kita kecapi kelak.


No comments:

Post a Comment