Friday 20 August 2010

A121741 Mas Ayu LJ05

Hari ini aku ada mesyuarat persatuan. Mesyuarat terpaksa diadakan pada hari Ahad kerana kekangan masa dan komitmen masing-masing. Jarak kolej yang jauh di lingkaran kedua menyebabkan aku terpaksa menunggu bas rapid atau bas zon 6 sahaja. Hari ini tidak ada bas zon 2 untuk ke Pusanika. Zon 6  mahupun rapid tidak melalui laluan biasa ku. Dari Kolej Za'ba aku terpaksa turun di hadapan masjid. Hanya itu satu-satunya laluan yang boleh aku lalui untuk ke bilik persatuan di bangunan pusanika. Hari pun sudah gelap. Mana tidaknya, aku keluar selepas Maghrib. Semasa aku jalan dari masjid ke Pusanika aku terserempak dengan 2 lembaga hitam. Berbulu lebat. Tiba-tiba aku terdengar ia menyalak. Dari kejauhan aku terlihat 2 ekor anjing hitam sedang berkeliaran di medan tempat letak kereta  bangunan Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) berhampiran Fakulti Pengajian Islam. Aku memang terkejut melihat makhluk itu. Perasaan takut itu muncul apabila aku mula memikirkan kemungkinan-kemungkinan buruk yang boleh berlaku. Aku cuba kawal emosi takut ini dengan mempositifkan diri. Ku katakana pada diriku bahawa aku tidak perlu takut. Anjing pun makhluk Tuhan. Aku tak ganggu mereka, mereka tak ganggu aku. Ketakutan dan reaksi fisiologi yang berlaku secara serentak itu dapat dikawal apabila aku berjaya berfikiran positif terhadap situasi yang berlaku. Mungkin ini adalah helah bela diri seperti mana yang dikemukan oleh Freud.

Apabila kita ingin mengukuhkan sesuatu hujah kita perlukan bukti yang kukuh. Sesuatu peristiwa atau tingkahlaku dikaitkan secara lansung dengan sebab yang berkaitan. Begitu juga dalam kes aku terserempak anjing tersebut. Aku terfikir apakah yang menyebab aku rasa takut dan bertindak untuk menjauhkan diri daripada bahaya? Adakah ia juga berkait dengan faktor survival semulajadi dalam diri manusia atau dari proses pembelajaran persekitaran? Situasi yang aku alami ini boleh dijelaskan berdasarkan tiga pendekatan utama dalam bidang psikologi sama ada merujuk kepada teori fisiologikal, kognitif atau psikoanalitik. Namun untuk learning journal kali ini, aku akan menjelaskan peristiwa yang aku alami hanya berdasarkan pendekatan teori fisiologikal. Terdapat tiga teori utama dalam menjelaskan pengalaman emosi yang berkait rapat dengan pendekatan fisiologikal iaitu Teori James-Lange (JLT),Teori Cannon-Bard (CBT) dan Teori Psikobiologikal. Antara ketiga-tiga teori ini aku tertarik dengan 2 teori  yang diketengahkan iaitu JLT dan CBT. Kedua-duanya aku lihat saling bertentangan dalam menghuraikan pengalaman emosi.

Menurut JLT reaksi fisiologi memainkan peranan utama dalam menjelaskan emosi yang dialami oleh individu. Teori ini mengatakan apabila kita berdepan dengan suatu situasi yang melibatkan pengalaman emosi badan akan terlebih dahulu menunjukkan reaksi fisiologi seperti denyutan jantung, tekanan darah, perpeluhan dan sebagainya. Hasil terhadap respon fisiologi yang berlaku dalam diri individu itu dikatakan mencetuskan emosi individu. Jika dikaitkan dengan peristiwa yang aku alami JLT mengatakan setelah aku melihat dan mendengar salakan anjing tersebut, tubuh badan aku akan mengalami respon fisiologi seperti denyutan jantung meningkat secara tiba-tiba serta berpeluh tanpa sebab yang nyata. Hasil respon fisiologi yang berlaku dalam tubuh badan menyebabkan tercetusnya rasa takut. Hal ini berbeza pula dengan pandangan CBT yang menyatakan bahawa aku sepatutnya mengalami emosi takut dahulu dan diikuti oleh respon fisiologi badan. CBT ini dilihat mempunyai persamaan dengan common-sense atau kepercayaan masyarakat kita.

Secara keseluruhan, aku berpandangan respon fisiologi badan dan persepsi emosi  berlaku secara serentak. Sistem kognitif juga memainkan peranan yang penting dalam proses kawalan emosi. Apabila sistem deria kita mengenalpasti sesuatu bahaya secara automatik sistem fisiologi badan akan diaktifkan. Sistem fisiologi badan akan teraktif apabila minda kita mempersepsikan sesuatu emosi. Emosi yang terbentuk itu pula bergantung kepada situasi, skema dan pembelajaran kita tentang sesuatu emosi. Setiap orang mungkin mengalami peristiwa yang sama tetapi respon emosi dan tahap bangkitannya adalah berbeza mengikut persepsi individu.

No comments:

Post a Comment