Friday 13 August 2010

A121741 Mas Ayu LJ04

Setiap sesuatu diciptakan secara berpasang-pasangan. Wanita pasangannya lelaki. Emosi juga ada pasangan yang tersendiri. Emosi positif lawannya emosi negatif. Gembira lawannya sedih. Sedar atau tidak, setiap hari kita bermain dengan emosi. Manusia adalah makhluk yang istimewa. Manusia bukanlah robot. Kita dikurniakan dengan kelebihan akal dan elemen emosi yang unik. Respon terhadap emosi selalunya berkait rapat dengan ransangan terhadap persekitaran. Gambaran ekspresi emosi biasanya berkait rapat dengan situasi yang dialami seseorang individu. Seseorang yang waras tidak akan marah tanpa sebab yang kukuh. Kemarahan seseorang biasanya tercetus disebabkan oleh faktor-faktor tentu. Pensyarah tidak akan marah kepada pelajar sekiranya mereka tidak melakukan kesalahan. Hal ini menjelaskan bahawa emosi yang tercetus dalam diri individu seringkali dirangsang oleh persekitaran.

Emosi negatif terhasil apabila wujud keadaan yang tidak selesa, bahaya atau bimbang. Emosi negatif boleh menjadi suatu yang positif sekiranya ia diekspresikan pada masa dan tempat yang sesuai. Apabila anda dilayan secara tidak adil oleh orang lain, sudah pasti anda akan marah. Perasaan marah adalah sesuatu yang normal apabila kita rasa ditindas atau dibuli. Jika anda tidak merasai sedemikian maka sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan kefungsiaan emosi anda. Hal ini berbeza dengan orang yang marah tetapi mampu mengawal kemarahannya dengan sabar dan berhikmah. Rasulullah bersabda, orang yang kuat adalah orang yang mampu menahan amarahnya.

Terdapat beberapa tips dalam Islam untuk mengawal marah, antaranya berwuduk dan mengubah posisi badan. Jika sedang berdiri maka duduklah jika sedang duduk berbaringlah. Menurut Islam kemarahan itu berpunca daripada syaitan yang dicipta daripada api. Maka untuk memadamkan kemarahan itu kita perlu berwudhu. Air boleh memadamkan api amarah.  Keadaan ini memberi ketenangan kepada individu yang melakukannya. Begitu juga dengan mengubah posisi. Apabila kita mengubah posisi badan ketika marah ia akan menjejaskan fokus kemarahan dan membantu kelancaran oksigen. Oksigen yang cukup di otak membolehkan respon fisiologi dan elemen rasional berperanan dengan baik.

Kemarahan boleh menyebabkan kita berfikir di luar rasional. Seorang lelaki mungkin menuduh pasangannya curang apabila melihat pasangannya keluar dengan lelaki lain. Tuduhan tanpa soal siasat seringkali berlaku kerana individu dipacu oleh emosi marah. Kemungkinan pasangan mereka keluar atas sebab yang munasabah tidak diambil kira. Apabila seseorang dalam keadaan marah mereka hanya memfokus kepada sebab kemarahan tanpa cuba menyelidiki sesuatu situasi yang dilihat secara rasional. Hal ini boleh mencetuskan perbalahan antara seseorang individu walhal perkara tersebut hanya suatu salah faham. Emosi negatif yang gagal dikawal oleh individu boleh menyebabkan pelbagai kesan negatif kepada kehidupan.

Kesedihan adalah sesuatu yang normal jika individu mengalami kehilangan seseorang yang penting dalam hidupnya, sama ada ibu, ayah, sahabat, suami atau kekasih. Kesedihan yang keterlaluan boleh memberi kesan yang negatif terhadap kelansungan hidup individu. Kesedihan yang keterlaluan pula boleh membawa kepada kemurungan. Individu yang murung atau depress cenderung untuk melakukan perkara-perkara di luar rasional contohnya membunuh diri.

Jika kamu sedih atau kecewa tulislah ia pada pasir di pantai nescaya ia akan hilang bersama deru ombak. Jika kamu alami peristiwa gembira dan membahagiakan dalam hidup ukirlah ia pada batu yang teguh, moga ia kekal selamanya. Menangisi peristiwa sedih bukanlah suatu penyelesaian tetapi membawa kepada suatu permasalahan yang tiada kesudahan. Jika kita kecewa atau jatuh dalam arena kehidupan, jangan sesekali menyerah kalah. Berjuang dan berjuang. Jadilah  diri kita umpama kucing yang jatuh lalu tangkas untuk bangun semula. Kita mampu hidup bahagia jika kita mampu berfikiran positif. Cara kita mengawal emosi menentukan  kebahagiaan kita dalam kehidupan. Kitalah yang menentukan ke mana arah perjalanan yang mahu kita corakkan. Jika kita gagal merancang bermakna kita merancang untuk gagal. Sediakanlah resepi ketenangan hati dengan menyediakan bahan-bahan yang mampu meransang emosi positif dan menyahkan emosi negatif pada tempat dan masa yang sesuai. Emosi perlu dipamerkan sesuai dengan situasi, khalayak, temapat dan masa.

No comments:

Post a Comment