Friday 27 August 2010

A 130854 Rafidah LJ 06

Assalamualaikum w.b.t... dan Salam Sejahtera….

Jurnal keenam pada kali ini membincangkan tentang 'Adaptation Level Theory' ataupun dikenali juga sebagai teori aras adaptasi. Aras adaptasi seseorang ialah fungsi aras neutral semasa individu tersebut yang bergantung kepada situasi rangsangan yang khusus. Kita secara automatiknya menentukan titik neutral atau titik adaptasi untuk setiap satu daripada simulasi yang pelbagai. Kemudian, apabila ada rangsangan luar yang masuk, kita akan membandingkan rangsangan luar ini dengan titik adaptasi ini, samada rangsangan luar ini lebih tinggi nilainya atau lebih rendah.

Penilaian kita akan memberi makna kepada emosi kita. Bila kita melakukan sesuatu perkara, pada mulanya agak sukar tetapi lama kelamaan ianya akan neutral iaitu biasa. Setiap orang mempunyai penilaian yang berbeza-beza. Sebagai contoh tahap penerimaan kebisingan mengikut individu. Di mana jika sebuah keluarga yang tinggal berhampiran dengan stesen keretapi, mereka akan terbiasa dengan bunyi bising keretapi itu dan sekiranya mereka berada di tempat yang agak bising, mereka tidak akan berasa terganggu dengan bunyian tersebut kerana telah biasa mendengar bunyi yang bising. Berlainan pula bagi mereka yang tinggal di kawasan penempatan yang agak sunyi, iaitu kebanyakkan keluarga yang bekerja dan hanya waktu malam dan hujung minggu sahaja mereka akan berada di rumah. Kawasan penempatan yang mereka diami adalah dalam keadaan yang agak sunyi dan jika mereka berada di tempat yang agak bising, mereka mungkin akan berasa tidak selesa justeru tertekan dengan keadaan yang sedemikian rupa. Ini berlaku disebabkan oleh mereka tidak biasa mendengar atau berada di dalam keadaan yang bising.

Emosi kita boleh bertoleransi dalam semua benda yang biasa kita lakukan dan sebaliknya. Kegembiraan kita juga bergantung kepada aras pengadaptasian kita. Aras adaptasi kita selalu berada di tahap yang neutral tetapi jika kita berupaya mendapatkan lebih daripada apa yang kita inginkan, kita akan berasa lebih gembira. Aras adaptasi sentiasa menjadi titik neutral dan hanya sesuatu yang lebih tinggi dari titik neutral sahaja akan membuatkan kita merasa lebih gembira.

Teori aras adaptasi mengatakan bahawa emosi akan menjadi seimbang dengan bergerak ke arah titik neutral untuk jangkamasa yang panjang. Richard Solomon (1980) telah membawa teori ini selangkah ke depan dengan melihat kecenderungan emosi untuk jangkamasa yang immediate selain daripada jangkamasa panjang. Teori proses berlawanan beliau mencadangkan bahawa emosi bergerak menuju keseimbangan dengan bergerak ke arah titik neutral bukan saja untuk jangkamasa panjang tetapi juga untuk jangkamasa pendek. Secara spesifiknya, setiap emosi akan menyebabkan emosi yang bertentangan timbul. Apabila sesuatu emosi itu lahir maka akan terhasilah satu lagi emosi yang berlawanan.

Emosi itu adalah berpasangan dan berlawanan. Contohnya ialah emosi takut yang berpasangan dan berlawanan dengan emosi seronok. Sebagai contoh, jika kita melakukan aktiviti terjunan dari bangunan yang tinggi dan sebelum ini kita tidak pernah melakukannya. Pada awalnya kita akan berasa sangat takut tetapi setelah kita cuba melakukan terjunan itu kita akan dapati satu perasaan lain yang timbul iaitu keseronokkan. Dari perasaan takut yang kita alami pada mulanya dan akan timbul perasaan seronok di akhirnya.

Menurut teori aras adaptasi juga, kita akan menyesuaikan diri dengan perkara-perkara yang biasa kita alami dan kita juga akan berkehendakkan sesuatu yang lebih baik lagi. Bak kata pepatah, 'sesungguhnya manusia itu tidak pernah puas dengan apa yang dimilikinya'.

Sekian, Wassalam.....#


No comments:

Post a Comment