Friday 13 August 2010

A 130854 Rafidah LJ 04

Assalamualaikum w.b.t... dan Salam Sejahtera….

Bagi jurnal pembelajaran yang keempat ini, topik yang telah pun dibincangkan ialah berkenaan emosi negatif. Pada jurnal yang lepas kita telah pun membincangkan mengenai emosi positif justeru itu kali ini kita akan membincangkan lawan bagi emosi positif pula iaitu emosi negatif. Sebenarnya emosi negatif ini lahir melalui apa yang kita fikirkan.

Mengikut hukum tarikan, kita sendiri yang menarik nasib malang itu berdasarkan kepercayaan kita akan 'nasib kita memang malang'. Apabila kita percaya, 'subconscious mind' kita akan bergerak menarik apa yang kita fikirkan itu, jadi memang malanglah sentiasa yang akan datang dalam kehidupan kita. Oleh itu kita perlu sentiasa berhati-hati dengan apa yang kita fikirkan. Itu adalah penerangan logikal yang dinamakan sebagai hukum tarikan atau 'law of attraction' bagi menjelaskan apa yang kita lalui. Namun begitu jika kita berlandaskan pegangan agama, memang benar apa yang sentiasa kita fikirkan dan kita ucap dalam hati adalah doa yang berbentuk harapan. Apa yang kita fikirkan mengenai orang lain sebenarnya akan membuatkan kita menarik benda yang sama kepada kita. Malah Allah melarang kita merasa seronok melihat penderitaan orang lain dan berkeluh kesah pula apabila kita ditimpa musibah.

Sesiapa yang meleraikan kemelut hidup orang lain, Allah pula yang meleraikan kemelut hidupnya. Sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada kesusahan, maka Allah pula yang akan melepaskan kesulitannya. Sesiapa yang menutup aib saudaranya, maka Allah pula yang akan menutup aibnya. Pokoknya, hidup ini amat adil malah orang yang baik adalah yang paling banyak berbuat kebaikan pada orang lain.

Takut, malu, sedih dan juga marah adalah tergolong dalam emosi negatif. Takut adalah reaksi kepada tindak balas yang datang berkaitan dengan kebimbangan. Ia juga merupakan mekanisme untuk meneruskan kelangsungan hidup. Contohnya apabila kita takut kepada kegelapan dan pada suatu ketika kita melaui lorong yang gelap, tindakan yang akan kita ambil ialah kita akan berjalan sepantas mungkin untuk keluar dari tempat itu dan mencari tempat yang lebih selamat lagi. Perasaan takut ini salah satunya adalah akibat daripada truma yang pernah dialami. Kita boleh melihat ekspresi seseorang yang takut itu melalui riak wajahnya.

Emosi negatif yang seterusnya adalah malu. Malu adalah satu perasaan negetif yang timbul dalam diri seseorang akibat daripada kesedaran diri mengenai perlakuan tidak senonoh yang dilakukan oleh dirinya sendiri. Setiap orang yang normal mempunyai perasaan malu. Tetapi setiap masyarakat mempunyai pandangan yang berbeza mengenai malu. Sehubungan itu, pendapat mengenai apa yang dimaksudkan malu, apa yang mendatangkan malu serta tindakan yang harus untuk mengatasi perasaan malu berbeza-beza dari satu masyarakat ke satu masyarakat yang lain. Ini adalah kerana dalam konsep malu dan segan ini sebenarnya terkandung satu sisitem nilai dan kepercayaan sesebuah masyarakat itu.

Emosi negetif yang berikutnya adalah sedih. Sedih merupakan salah satu emosi akibat berhadapan dengan situasi yang mengecewakan, dan muncul akibat penderitaan kerana luka, derita dan sakit. Oleh itu, kita akan menangis. Namun demikian, menangis bukanlah emosi tetapi menangis adalah ekspresi dari sebuah emosi. Emosi yang sering menjadikan kita menangis sebagai ekspresinya adalah kesedihan 'sadness' tapi bukanlah bererti kita hanya boleh menangis idjika sedih sahaja.

Emosi negatif yang terakhir pula adalah marah. Marah adalah sifat semula jadi yang ada pada semua orang, antara mereka ada yang cepat marah dan ada yang lemah lembut. Marah bukanlah suatu sifat yang boleh dibuat serta merta, malah ia biasanya didahului sesuatu yang boleh menyebabkan seseorang itu marah, perasaannya memberontak dan akan bertindak kasar. Seseorang yang sedang marah akan hilang kewarasan fikirannya. Pertimbangannya sudah hilang, lidahnya asyik memaki hamun dan mengejek-ejek. Kadang-kadang perasaan marah berlanjutan sehingga menimbulkan permusuhan antara keluarga dan sahabat handai.

Mutiara Kata:

Jangan terlalu memikirkan kesedihan dihari ini untuk mengapai kegembiraan dihari esok

Sekian,,, Wassalam.....#

 


No comments:

Post a Comment