Saturday 24 July 2010

A134606 TingTing LJ01

 Semasa membuat pilihan dalam unit pemilihan university (UPU) untuk memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kursus psikologi merupakan pilihan pertama saya manakala kursus pendidikan khas merupakan pilihan seterusnya. Sebenarnya, saya sungguh berminat dalam  psikologi kerana bidang ini mengandungi elemen sains serta berkaitan dengan tingkahlaku, pemikiran, emosi, motivasi, hubungan peribadi, keupayaan dan patologi manusia. Tetapi saya telah ditawarkan dengan pilihan kedua iaitu pendidikan khas. Walaubagaimana pun,saya akan terus belajar apa-apa jua yang berkaitan dengan psikologi. Oleh itu ,saya berasa sangat gembira apabila saya dapat mengikuti kursus pengurusan emosi ini kerana saya dapat mempelajari sesuatu yang berkaitan dengan psikologi manusia. Selain itu, saya percaya bahawa pengurusan emosi merupakan aspek yang penting dalam bidang perguruan yang saya ceburi sekarang terutamanya dari segi kepimpinan, membuat keputusan, menangani masalah pelajar dan pengurusan konflik.

 

Dalam kuliah pertama ini, kami telah didedahkan dengan definisi emosi, komponen emosi, emosi dan motivasi dan juga cara menguji emosi seseorang. Sebelum menghadiri kursus ini, saya berpendapat bahawa emosi mempunyai makna yang sama dengan perasaan tetapi saya telah mendapat kepastian bahawa yang tanggapan saya salah selepas mendapat penerangan daripada Encik Zamri. Makna emosi lebih luas berbanding dengan perasaan. Pada pendapat saya, emosi merupakan sesuatu  reaksi atau tindak balas yang berubah-ubah mengikut keadaan yang berbeza.Walaupun emosi dan perasaan tidak serupa tetapi mereka saling berkait. Komponen emosi merangkumi perasaan seperti gembira, tenang, sedih, takut dan benci. Menurut Kleinginna dan Kleinginna (1981), emosi merupakan taksiran yang kompleks  berkaitan dengan interaksi antara faktor subjektif (mempengaruhi kepercayaan seseorang berdasarkan fakta yang benar) dan objektif (fakta atau situasi yang mempengaruhi hasil dalam sesuatu perkara) yang dipengaruhi oleh sistem neural dan hormon. Emosi dibahagikan kepada empat komponen utama, iaitu perasaan yang dialami (perasaan puas, suka, gembira atau perasaan tidak senang hati) proses kognitif ( proses berfikir serta melabelkan dengan tanggapan yang relevan), perubahan fisiologi (gerak-geri badan dan eskpresi wajah) dan tingkahlaku berkaitan (seperti menjerit, menangis, lari, bergaduh).Komponen- komponen ini mempamerkan perubahan mental dan fizikal manusia mengikuti situasi yang berbeza.Keempat-empat komponen ini saling berkait. Sebagai contoh, kes buli yang kerap berlaku di kalangan pelajar. Faktor utama yang mendorong kepada kejadian ini ialah si buli yang merasa puas apabila dia berjaya menunjukkan kekuatannya dengan menyakiti mangsa secara lisan atau fizikal. Tanpa disedari, rasa keseronokan ini mendorong pembuli untuk terus melakukannya. Ini menunjukkan bahawa para pembuli yang merupakan mangsa yang menghadapi masalah emosi kerana mereka sanggup melihat penderitaan orang lain untuk memperolehi rasa kepuasan.

Di sini, pengalaman berkaitan yang ingin saya kongsikan ialah semasa saya menaiki Keretapi Tanah Melayu KTM dan ini merupakan  kali pertama dalam hidup saya. Perkara ini baru sahaja berlaku pada awal pagi khamis lepas. Saya menaiki  KTM untuk balik ke kampus selepas bermalam di rumah kakak saya yang berada di Bukit Jalil. Setibanya saya di stesen keretapi, saya merasakan suasana di situ sungguh sunyi. Hanya bunyi kenderaan yang lalu lalang yang kenderaan. Kelibat manusia pun tidak kelihatan. Saya mula berasa gelisah dan berfikir benda yang bukan-bukan (perasaan afektif yang menbangkitkan perasaan gelisah disebabkan ketakutan). Jenayah menakutkan seperti rompak dan rogol terus melayang di fikiran. Saya cuba menenangkan diri dengan menggenggam tangan saya dengan kuat (proses kognitif) namun degupan jantung saya semakin kedengaran. Tanpa disedari, genggaman tangan saya berpeluh (perubahan fisiologi).  Saya berdiri dari tempat duduk dan mundar mandir di ruang menunnggu untuk menghilangkan kegelisahan itu (tingkahlaku yang terhasil akibat perasaan takut saya) . Selang beberapa saat, saya akan berpaling ke arah jam tangan. Selepas beberapa minit, keretapi sampai di stesen. Dengan tidak melengahkan masa, saya terus melangkah masuk ke dalam keretapi dan menghembuskan nafas kelegaan.

 

Selain itu, emosi juga tidak boleh dipisahkan dengan motivasi.Kedua-dua ini saling berkaitan. Sebagai contoh, dengan adanya emosi seperti gembira, suka, akan membantu meningkatkan motivasi seseorang. Di sebaliknya, jika seseorang itu berada dalam keadaan emosi yang sedih malah ini akan membantutkan motivasinya. Contohnya, dulu badan saya agak gemuk disebabkan saya sangat suka dengan makanan segera seperti kfc, mcd, sugarbun. Tetapi saya selalu berasa iri hati apabila saya melihat rakan-rakan saya dengan tubuh badan yang langsing. Disebabkan perasaan iri hati dan cemburu ini, saya akan sentiasa bersenaman  seperti joging dan berenang dan juga menjaga diet saya(cthnya merujuk kepada piramid makanan ) dan juga mengurangkan makanan yang tidak sihat . Hal ini menjelaskan bahawa perasaan iri hati saya telah mendorong saya sentiasa mempratikkan amalan pemakanan dan kehidupan yang sihat ini.

 

Walau begitu, bukan dalam semua keadaan  di mana emosi boleh menjadi pendorong ( motivator ) dan bukan semua pendorong ( motivator) berasaskan emosi. Contohnya, saya sangat suka menonton drama Hong Kong .Pada masa cuti, saya sanggup menonton drama tersebut sehingga pukul 3-4 pagi setiap hari. Tetapi,semasa hari persekolahan saya akan menguruskan masa dengan baik(hanya menonton drama dalam masa 1 atau 2 jam)  dan tidur lebih awal. Hal ini jelas menunjukkan bahawa emosi saya tidak mendorong kepada keinginan saya.

 

Sebagai kesimpulannya, manusia akan mengalami pelbagai emosi dan kita tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengurus, mengakuinya dan belajar untuk menanganinya. Justeru, saya berasa teruja apabila mengikuti kursus ini kerana saya dapat mempelajari dan mengkaji cara mengurus emosi manusia.

-Tamat-

 


Hotmail: Trusted email with Microsoft's powerful SPAM protection. Sign up now.

No comments:

Post a Comment