Friday 30 July 2010

A134544 Nabihan LJ02

            Hari ini hari Rabu, 28 Julai 2010, sekali lagi saya melangkah masuk ke kelas pengurusan emosi. Ini merupakan minggu ketiga saya mengikuti kelas ini. Mungkin kerana sudah biasa dengan jadual seharian yang padat, saya sudah tidak berasa penat lagi untuk mengikuti kelas yang terakhir pada hari ini. Malah saya sudah mula meminati kelas ini. Walau bagaimanapun, sekali sekala terlelap juga mata ini mungkin kerana saya tidak mampu untuk menahan rasa mengantuk yang melanda diri. Tetapi saya tetap juga sedaya upaya melawan rasa mengantuk ini supaya saya tidak terlepas untuk mendengar dan mempelajari input-input yang menarik untuk saya masukkan ke dalam jurnal pada kali ini.

            Pada minggu kedua ini saya telah belajar tajuk Struktur Asas Emosi. Tajuk ini agak panjang dan membuatkan saya berasa agak bosan ketika mempelajarinya. Dalam kebosanan itu juga, banyak juga maklumat yang saya dapat yang boleh saya gunakan dalam kehidupan seharian. Yang paling penting sekali, maklumat tersebut dapat saya kongsikan bersama melalui jurnal ini. Dalam tajuk kali ini terdapat banyak teori daripada pelbagai tokoh yang dapat saya pelajari. Teori yang pertama datangnya dari Darwin. Dalam bukunya yang bertajuk 'The Expression of the Emotions in Man and Animals', beliau telah menyatakan bahawa ekspresi wajah melambangkan emosi. Ini adalah kerana muka adalah yang senang bukannya organ lain. Beliau juga berkata emosi terdiri daripada emosi asas atau primari emosi. Emosi primari ini adalah ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspresikan dalam bentuk yang seragam di semua bangsa dan budaya.

           

            Saya juga belajar mengenai teori primari emosi Plutchik. Beliau menyatakan bahawa emosi boleh digambarkan dalam tiga bahasa yang berbeza iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku, dan bahasa fungsian. Bahasa subjektif adalah bahasa biasa bagi emosi seperti takut, gembira, dan sedih. Bahasa tingkah laku pula merujuk kepada apakah tindakan susulan yang diambil setelah emosi diransang. Contohnya apabila kita gembira adakah kita akan melompat kegirangan atau senyum kegembiraan. Apabila kita berada dalam kesedihan pula adakah kita akan mengalirkan air mata untuk menggambarkan emosi kita. Bahasa fungsian pula merujuk kepada fungsi emosi tersebut kepada seseorang. Ia juga merujuk kepada bagaimana emosi itu berperanan kepada seseorang individu. Misalnya, apabila seseorang itu berani adakah fungsinya untuk memberikan dia keyakinan atau apabila seseorang itu sedih adakah fungsinya untuk melambangkan keakraban sesuatu persahabatan. Saya ingin mengemukakan contoh yang boleh membuatkan kita lebih memahami teori Plutchik ini. Apabila individu itu merasa takut(bahasa subjektif), dia akan terfikir untuk melarikan diri(bahasa tingkah laku) dan apabila dia melarikan diri fungsinya adalah untuk menyelamatkan dirinya(bahasa fungsian). Plutchik juga mengklasifikasikan emosi kepada tiga dimensi penting iaitu intensity, similariti, dan polariti. Intensiti merujuk kepada darjah kekuatan emosi contohnya dari bahagia kepada gembira. Similariti pula merujuk kepada hubungan atau perkaitan contohnya takut dan sedih lebih dekat berbanding takut dan gembira. Polariti pula merujuk kepada kekutuban contohnya benci lawannya suka.

 

            Kemudian saya juga belajar mengenai teori tindak balas wajah Tomkin. Tomkin memberikan kita persoalan apa yang menyebabkan apa. Sebagai contoh adakah kamu senyum kerana kamu gembira atau adakah kamu gembira kerana kamu senyum? Yang mana satukah jawapannya. Menurut Tomkin senyum membuatkan kamu gembira. Untuk membuktikan kata-kata Tomkin itu, satu simulasi telah dibuat. Berdasarkan simulasi yang telah dibuat, benarlah kata-kata Tomkin senyum membuatkan kita gembira. Dua kajian telah dijalankan untuk menyokong teori Tomkin. Salah satu kajian telah dijalankan oleh Ursula Hess dan rakan-rakan dalam kalangan pelajar wanita prasiswazah di Universiti Geneva, Switzerland. Mereka telah meminta pelajar terbabit melakukan tiga tugasan. Yang pertama untuk merasakan empat emosi iaitu kegembiraan, kesedihan, marah dan tenang. Yang kedua pelajar tersebut diminta untuk melakukan ekspresi wajah tanpa merasakan keempa-empat emosi tersebut. Yang ketiga, mereka diminta untuk merasakan emosi tersebut dan melakukan ekspresi wajah. Daripada tugasan tersebut Hess mendapati, tugasan ketiga menggunakan masa yang singkat untuk melakukannya. Kesimpulannya reaksi wajah boleh menggambarkan sesuatu emosi.

 

            Jadi setakat ini sajalah yang dapat saya kongsikan dalam jurnal kali ini. Harap dapat bertemu lagi dalam jurnal yang akan datang dengan topik yang lebih menarik. Sekian.#  

            


No comments:

Post a Comment