Friday 23 July 2010

A134544 Nabihan LJ01

            Hari ini, Rabu, tepat jam 4.00 petang, saya melangkah kaki masuk ke kelas Pengurusan Emosi. Minggu ini merupakan minggu kedua saya mengikuti kelas ini. Sejurus melangkah masuk, terlintas di hati saya agar kelas yang terakhir pada hari ini berjalan tidak terlalu lama supaya saya dapat pulang cepat ke kolej. Maklumlah, setelah seharian berkejar ke kelas sana ke kelas sini, sudah tentulah saya merasa penat dan inigin cepat berehat. Harapan saya menjadi kenyataan apabila pensyarah mengatakan bahawa beliau akan menghabiskan kelas ini awal kerana mempunyai urusan. Perasaan yang mulanya gundah gulana kerana bimbang terpaksa pulang lewat kini bertukar gembira setelah pensyarah membuat kenyataan tersebut. Di saat itu juga datang satu semangat yang berkobar-kobar untuk saya belajar subjek pengurusan emosi pada hari itu.

            Pada minggu kedua ini, pensyarah hanya menerangkan tajuk 1 iaitu pengenalan tentang emosi. Setelah mengikuti pengajaran beliau barulah saya tahu rupa-rupanya perasaan yang selama ini saya sangkakan sama dengan emosi sebenarnya hanyalah salah satu daripada bahagian emosi. Hmm, luas sebenarnya aspek emosi ini. Saya mendapati definisi emosi menurut Kleinginna & Kleinginna (1981) bermaksud  satu interaksi yang kompleks dalam faktor objektif dan subjektif. Ianya boleh dipengaruhi oleh kepercayaan seseorang individu berdasarkan fakta sebenar. Fakta atau situasi itu juga akan dapat mempengaruhi keputusan sesuatu perkara. Terdapat 4 komponen dalam emosi iaitu perasaan, proses kognitif(pemikiran), perubahan fisiologi, dan tingkahlaku berkaitan. Setelah mengetahui 4 komponen emosi tersebut,saya menyedari bahawa saya sering terlibat dalam situasi yang mempunyai keempat-empat komponen emosi tersebut. Ingin saya kongsikan di sini pengalaman saya yang membabitkan kesemua komponen emosi ini.

            Pernah satu ketika sewaktu di sekolah rendah, saya telah diminta untuk memberikan ucapan sempena Hari Guru pada perhimpunan mingguan sekolah. Ini adalah kali pertama saya akan berucap di hadapan ratusan pelajar dan puluhan guru. Seminggu sebelum hari berucap tiba, saya telah menyiapkan teks ucapan saya. Untuk mempersiapkan lagi diri saya agar tidak gugup ketika berada di atas pentas nanti, saya sering berlatih berucap seorang diri di dalam bilik. Jadi hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Sebagai wakil pelajar, saya telah diberi tempat duduk khas bersama-sama dengan para guru. Pada mulanya saya menanti giliran saya berucap dengan penuh ketenangan dan kesabaran. Tetapi selepas setengah jam menunggu, tiba-tiba datang satu perasaan yang sangat gemuruh. Mungkin kerana situasi di situ yang terlalu ramai orang membuatkan saya memikirkan tentang tanggapan orang ramai mengenai diri saya apabila sedang berucap nanti. Mungkin ada di antara mereka yang ingat saya hanya ingin menunjuk-nunjuk kebolehan diri dan sebagainya. Perkara tersebut bermain-main di fikiran saya. Saya merasakan jantung saya berdegup kencang dan peluh sudah mulai keluar di dahi saya. Giliran saya hanya tinggal beberapa minit saja lagi. Semakin dekat, semakin kencang degupan jantung saya. Tiba-tiba saya berasa sakit perut yang amat sangat. Saya ingin ke tandas tetapi memikirkan waktu untuk saya berucap sudah hampir tiba, saya hanya menahan sahaja kesakitan itu. Sehinggalah suatu saat saya tidak mampu lagi menahan, saya terus meminta izin ke tandas. Pada ketika itu jugalah, giliran saya tiba. Disebabkan tidak mampu menahan kesakitan perut itu, saya terpaksa ke tandas dahulu. Saya berasa amat malu sekali pada hari itu kerana gara-gara saya lambat memberikan ucapan, perhimpunan pada hari itu berakhir lambat.

            Itulah serba sedikit pengalaman yang dapat saya kongsikan dalam jurnal ini. Sebenarnya juga, menurut Baron & Logan, 1993, emosi juga tidak dapat dipisahkan dari motivasi. Dan menurut Lang et al,1992, emosi merupakan sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional. Misalnya seseorang yang mempunyai dendam terhadap kawannya atas sebab-sebab tertentu mampu membunuh kawannya untuk membalas dendam tersebut. Di sini kita dapat lihat bahawa emosi pembunuh tersebut yang mungkin marahkan kawannya telah menjadi motivasi kepadanya untuk membunuh kawannya itu.

            Saya rasa setakat ini dahulu catatan jurnal saya untuk minggu ini. Sekian. #

            


No comments:

Post a Comment