Thursday 29 July 2010

A134284 NG EAIN YI LJ02

Minggu ini kami belajar tentang struktur asas emosi. Struktur asas emosi ini dapat dijelaskan melalui pelbagai teori, iaitu Teori Emosi Asas Darwin, Teori Emosi Plutchik, Teori Rias Muka Tomkin, Ekspresi muka semula jadi Izard serta Teori Pembelajaran. Mula-mula, saya ingin berbincang tentang Teori  Emosi Asas Darwin, yang menyatakan bahawa ekspresi muka melambangkan emosi dan dialami serta diekspresikan dalam bentuk yang seragam bagi semua bangsa dan budaya. Saya menyokong teori ini kerana saya percaya bahawa emosi dapat ditafsirkan melalui ekspresi muka tanpa mengira kaum, budaya mahupun bangsa seseorang itu. Ekspresi muka bersifat global. Jikalau seseorang itu senyum, biasanya akan membawa maksud bahawa seseorang itu gembira, ataupun cuba mewujudkan suasana gembira. Namun demikian, adakala juga saya senyum sekadar untuk menyembunyikan perasaan malu saya dan bukannya berasa gembira.

            Teori Emosi Primari Plutchik dapat menarik perhatian saya. Teori ini mengatakan bahawa emosi boleh digambarkan dalam 3 bahasa yang berbeza, iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkahlaku serta bahasa fungsian. 3 bahasa ini dapat dikaitkan dengan pengalaman hidup saya sendiri. Tahun lepas, saya masih merupakan seorang pelajar tingkatan 6 atas. Kami mempunyai kelas MUET beberapa kali dalam masa seminggu. Guru mata pelajaran MUET saya suka memanggil kami untuk berucap di dalam kelas mengenai apa-apa tajuk yang dikemukakan olehnya waktu kelas MUET. Saya seorang yang pemalu, apabila disuruh berucap di depan orang ramai, suara saya akan mula menjadi perlahan dan kaki saya akan menggigil. Saya berasa amat takut, iaitu seperti bahasa subjektif yang dijelaskan dalam Teori Plutchik. Saya juga akan mempunyai keinginan untuk melarikan diri daripada berucap dengan memberi pelbagai alasan kepada guru tersebut. Tindakan ini ialah bahasa tingkahlaku yang dicetus susulan daripada emosi ketakutan. Namun demikian, ketakutan ini dapat menjadikan saya berasa lebih berani setelah beberapa kali diipanggil keluar. Demikianlah bahasa fungsian perasaan ketakutan kepada saya. Takut beberapa kali, saya jadi lebih berkeyakinan.

            Tidak lupa juga Model Emosi 3D Plutchik, model ini menunjukkan beberapa peringkat emosi dari yang minima ke maxima. Emosi-emosi yang kurang menonjol seperti bosan, dialih perhatian, dan ketakutan berada di bawah model ini manakala emosi-emosi yang lebih kuat dari segi perasaan seperti berasa meluat, terperanjat dan sangat ketakutan pula diletakkan di bahagian atas model ini. Apabila berada di dalam perpustakaan, orang yang duduk di sebelah mula bercakap dengan kuat, kami akan mula berasa tidak selesa. Kemudian orang itu pula mula menggoyangkan kakinya bawah meja bacaan sehingga menggerakkan meja tersebut. Kami akan mula menjadi marah. Apabila sampai tahap orang itu  bercakap dengan kuat, menggoyangkan kakinya, sambil memakan dalam perpustakaan, kami akan berasa teramat marah sehingga akan bangun untuk menegurnya. Keadaan ini menggambarkan peringkat-peringkat emosi yang dipaparkan dalam model 3D Plutchik.

            Dalam Teori Pembelajaran dan Pengalaman pula, emosi boleh dijelaskan melalui pandangan biologi dan pandangan teori pembelajaran. Pandangan biologi menyatakan bahawa proses kognitif berbeza dari individu ke individu. Sebagai contoh, penyertaan dalam aktiviti-aktiviti bersukan merupakan satu kesusahan bagi mereka yang tidak suka bersukan, tetapi merupakan satu keseronokan kepada mereka yang gemar bersukan. Oleh itu, satu acara atau perkara yang sama boleh membawa reaksi yang berbeza daripada pelbagai pihak. Selain itu, teori ini juga menyatakan bahawa emosi adalah semula jadi, namun dalam proses pembesaran, pembelajaran mampu mempengaruhi cara untuk menunjukkan emosi kita. Contohnya, semua orang mempunyai perasaan marah, tetapi kaedah yang setiap individu guna untuk menunjukkannya adalah berbeza. Rakan sekelas saya dahulu bernama Randy, suka melepaskan kemarahannya dengan merosakkan barang-barang. Kemarahannya hanya dapat dilepaskan melalui keganasan. Berbeza dengannya, saya melepaskan kegeraman saya dengan menjerit bawah bantal. Itulah pengalaman yang saya dapat kaitkan dengan pandangan biologi Teori Pembelajaran dan Pengalaman.

No comments:

Post a Comment