Wednesday 21 July 2010

A134284 Ng Eain Yi LJ01

Minggu ini merupakan kali ke-2 saya mengikuti kursus pengurusan emosi. Saya berasa amat teruja kerana boleh memahami emosi dengan lebih mendalam merupakan salah satu impian saya. Tidak tersangka pula di UKM ada menawarkan kursus seperti ini. Kuliah minggu ini memperkenalkan kami kepada definisi dan pengukuran emosi. Selama ini saya menganggap bahawa emosi adalah sama dengan perasaan. Namun, menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), perasaan hanya merupakan sebahagian daripada emosi. Emosi dapat dibahagikan kepada 4 komponen, iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi serta tingkahlaku yang berkaitan.

Teori ini dapat dikaitkan dengan apa yang berlaku pada saya pada hari ini. Saya menghadiri kursus di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) yang tamat pada pukul 4 petang. Pada masa yang sama kursus Pengurusan Emosi (ZT2253) pula bermula di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK). Untuk pergi ke FSSK dari FTSM, kami terpaksa menaiki bas. Sebaik sahaja kursus saya di FTSM berakhir, saya bergegas ke perhentian bas. Saya berasa gelisah dan risau apabila sedang menunggu bas. Ini merupakan perasaan saya ketika itu. Proses kognitif adalah saya risau adakah saya akan lewat menghadiri kursus seterusnya? Sama ada bas itu akan sampai sebentar lagi? Sekiranya bas tidak sampai lagi, patutkah saya berjalan kaki? Pada masa yang sama, saya berpeluh-peluh dan dengupan jantung saya bertambah cepat kerana gelisah. Ini merupakan perubahan  fisiologi yang dialami seperti yang dijelaskan dalam teori Kleinginna & Kleinginna (1981). Apabila bas sampai, saya menaiki bas dengan segera dan bergegas ke dewan kuliah setibanya saya di perhentian bas yang terdekat dengan FSSK. Tindakan ini merupakan  tingkahlaku saya yang tercetus akibat daripada perasaan risau.

Seterusnya, kami juga difahamkan bahawa emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi (Baron&Logan, 1993). Emosi juga dijadikan sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional (Lang et al, 1992). Sebagai contoh, perasaan cemburu mendorong saya untuk berusaha dengan lebih kuat. Saya merupakan seorang yang suka bersaing dalam hidup dan akan berasa cemburu sekiranya rakan-rakan menjadi lebih baik daripada saya dalam mana-mana bidang yang saya ceburi. Pada suatu masa, gred matematik saya merupakan antara yang terbaik dalam kelas. Rakan saya mendapat gred yang lebih tinggi daripada saya pada satu semester. Perkara ini menimbulkan perasaan cemburu dalam hati saya lalu memberi motivasi kepada saya untuk mendapat gred yang lebih baik pada semester seterusnya. Jikalau tanpa perasaan cemburu, saya tidak akan mempunyai motivasi untuk bersaing untuk berjaya.

Selain daripada itu, kami juga diberi pengetahuan tentang cara menilai emosi seseorang. Laporan Persendirian (self-reports) boleh digunakan untuk mengetahui perasaan seseorang. Cara-cara untuk menyediakan laporan ini termasuklah melalui kaedah menemu bual, soal-selidik dan pemerhatian tingkahlaku sendiri untuk satu tempoh masa. Namun demikian, cara ini akan mempunyai masalah dari segi budaya. Ini adalah  kerana tingkahlaku yang sama akan membawa tafsiran yang berbeza dalam budaya yang berlainan. Contohnya, apabila seseorang menyampuk dalam satu perbualan, orang Barat akan menganggapnya sebagai perkara yang biasa dan berasa mereka memberi peluang kepada orang lain untuk menyuarakan pendapat. Tetapi bagi orang Asia, ini merupakan satu perbuatan yang biadap dan dianggap tidak menghormati orang yang sedang bercakap. Oleh itu, sesuatu tindakan memberi tanggapan yang berlainan kepada budaya yang berbeza.

No comments:

Post a Comment