Friday 23 July 2010

A133832 nurul LJ01

Sering kali kita diasak dengan pelbagai pertanyaan apabila terjadinya sesuatu peristiwa atau menghadapi sesuatu situasi, bagaimanakah perasaan anda apabila dapat menyandang gelaran juara? Adakah emosi anda untuk belajar terganggu sekiranya kekasih anda dirampas orang? Tidak dinafikan juga dalam kehidupan seharian, sering kali diajukan dengan pertanyaan, kenapa kamu begitu beremosi pada hari ini? Kenapa kamu seperti tidak mempunyai perasaan ketika mendengar celotehnya tadi? Emosi. Perasaan. Apa itu emosi? Apa pula itu perasaan? Adakah kedua-duanya membawa makna yang sama atau sebaliknya. Saya yakin ramai yang tertanya-tanya apakah sebenarnya makna yang tersirat di sebalik kedua-dua perkataan keramat ini dan terus-terang saya katakan jika saya diasak dengan dengan soalan ini tiba-tiba, tentu sekali saya tergapai-gapai mencari perkataan yang paling sesuai untuk mendefinisikan makna sebenar kedua-dua perkataan keramat ini walaupun pada hakikatnya saya juga tidak berapa jelas dengan maknanya. Alhamdulillah, pada beberapa hari lepas saya telah diberi peluang untuk sama-sama menyertai kelas pengurusan emosi dan sama-sama belajar sedikit sebanyak tentang perkara yang berkaitan dengan emosi dan sekarang barulah saya tahu bahawa perasaan itu merupakan komponen dalam emosi.  Emosi ialah satu interaksi yang kompleks dalam faktor objektif dan subjektif yang merangkumi 4 kompenen, menimbulkan pengalaman (affective experience), mencetuskan pemikiran (cognitive process), perubahan fisiologi (physicological adjustments) dan tingkah laku (behavior).  Perasaan itu melibatkan rasa seseorang ketika menghadapi sesuatu keadaan seperti rasa sedih, marah, gembira, takut, sedih dan kecewa. Perasaan-perasaan inilah menunjukkan seseorang itu mempunyai emosi dan ianya akan berubah-ubah mengikut situasi yang dihadapi.

Emosi dan motivasi sering dikaitkan mempunyai ikatan antara satu sama lain. Emosi bertindak sebagai motivasi kepada tingkah laku dan motif boleh menjadi emosianal. Sebagai contoh, saya sendiri pernah mengalami situasi yang mana emosi telah menjadi pendorong untuk saya bertindak sedemikian. Saya telah berasa amat marah kerana telah melakukan satu kesilapan yang agak besar dengan tidak menyiapkan kerja sekolah yang berlambak, lalu tanpa berfikir panjang, tanpa akal fikiran yang waras, barangan serta buku-buku di dalam bilik telah saya sepah-sepahkan dan biarkan ianya bertaburan di setiap penjuru bilik. Natijahnya, saya juga yang terpaksa mengemasnya kembali kerana saya sendiri tidak menyukai tempat yang bersepah. Inilah yang dikatakan emosi sebagai motivasi kepada tingkah laku. Apa yang saya tahu lagi ialah saya ialah menekankan bahawa emosi tidak menjadi pendorong dalam semua keadaan dan juga tidak semua pendorong berasaskan kepada emosi. Sebagai manusia, kita semua tidak lari daripada memenuhi keperluan harian untuk terus hidup di alam fana ini, contohnya makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Kita makan dan minum setiap hari kerana lapar dan dahaga serta ianya telah m enjadi rutin seharian semua orang. Saya juga makan nasi dua kali sehari dan ini sama sekali tidak ada kaitannya dengan emosi yang dijadikan sebagai pendorong untuk melakukan hal ini.

Bagaimana emosi diukur? Emosi dapat diukur dengan mengadakan temu rumah, soal selidik dan self-monitoring. Pemerhatian secara langsung juga boleh dilakukan untuk mengukur  emosi seseorang tetapi cara ini kurang berkesan kerana ianya agak subjektif kerana cara seseorang menilai emosi individu adalah berbeza debagan individu lain. Saya pernah mengalami situasi ini, pada ketika itu saya ingatkan rakan saya sedang bergembira bersama-sama rakan yang lain kerana malihat mereka bergelak tawa sakan. Saya mendekati mereka dan selambanya saya telah berkata sesuatu kepada rakan saya tadi tentang buah hatinya. Pada firasat saya, dia tidak akan mengambil hati tentang apa yang saya perkatakan memandangkan dia sedang bergembira tetapi dia telah terasa hati dan berlalu begitu sahaja. Rupa-rupanya dia baru sahaja perang besar dengan teman buah hatinya. Apa yang saya lihat tadi mungkin caranya untuk menyembunyikan kesedihannya dengan cara bergembira bersama teman-teman yang lain. Saya tersalah tafsir perasaannya ketika itu. Jenuh juga saya untuk memujuknya kembali. Biasalah, berkawan mesti ada yang pernah rasa tersinggung, bergembira bersama dan suka duka bersama barulah ada masam manis sesebuah persahabatan itu.

No comments:

Post a Comment