Friday 30 July 2010

A133720 Nurul LJ02

Struktur asas emosi merupakan tajuk kedua bagi subjek pengurusan emosi. Berbanding tajuk pada minggu lepas, tajuk ini sedikit mencabar kerana banyak teori yang didedahkan dan memerlukan perhatian yang lebih untuk memahami secara keseluruhannya. Namun begitu, penggunaan peta minda dan penerangan yang jelas daripada pensyarah memudahkan saya untuk memahami tajuk pada kali ini. Empat teori utama telah diperkenalkan iaitu Darwin's Basic Theory of Emotion, Plutchik's Primary Emotion Theory, Tomkin's Facial Feedback Theory dan Izard's Innate Facial Expression. Setiap teori ini ada perbezaannya namun semuanya menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan stuktur asas emosi ini.

Teori yang pertama ialah teori Darwin. Teori ini mengatakan bahawa emosi terdiri daripada emosi asas (primary emotion). Untuk pengetahuan lanjut, emosi primari ini adalah ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspresikan seperti yang diterangkan dalam bukunya yang bertajuk "The Expression of the Emotions in Man and Animals" yang mana ekspresi wajah melambangkan emosi. Hal ini disebabkan oleh muka adalah sesuatu yang senang dilihat dan tidak seperti organ lain. Penjelasan dalam buku ini telah membuatkan saya faham tentang teori yang cuba disampaikan oleh Darwin. Sebagai contoh, sejak pulang dari sekolah, Aida tidak henti-henti senyum dan matanya bercahaya. Hal ini menjelaskan bahawa ekspresi wajah yang ditunjukkan oleh Aida itu melambangkan dirinya yang sedang dalam kegembiraan. Namun begitu, ada juga yang tidak bersetuju dengan teori ini. Bagi mereka, ekspresi muka yang ditunjukkan tidak semuanya melambangkan emosi yang sedang dialami tetapi lebih kepada  cuba menyembunyikan perasaan sebenar daripada pengetahuan orang lain. Contohnya, Zila bermanis muka dan senyum ketika menerima tetamu yang tidak diundang itu. Dia berbuat demikian kerana ingin mengaburi tetamu itu walhal dia tidak menyenanginya kerana sikapnya yang suka menunjuk. Hal ini menerangkan bahawa ekspresi wajah tidak semestinya menggambarkan emosi seseorang ketika itu.

Seterusnya, Plutchik's Primary Emotion Theory. Tiga jenis bahasa emosi telah diperincikan dalam teori ini iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian. Ketiga-tiga bahasa emosi ini ada hubung kaitnya dan sering kali hadir serentak dalam sesuatu situasi. Sebagai contoh, ibu dan ayahnya tersenyum lebar kerana gembira apabila anaknya berjaya menjadi seorang doktor. Di sini, kita boleh huraikannya dalam tiga bahasa emosi tersebut. Perasaan gembira adalah bahasa subjektif, tersenyum lebar pula boleh dikategorikan sebagai bahasa tingkah laku manakala bahasa fungsian pula dapat dilihat melalui kegembiraan  ibu dan ayahnya terhadap kejayaan anaknya. Berdasarkan contoh ini, jelaslah bahawa ketiga-tiga bahasa emosi ini saling berkait rapat dalam sesuatu situasi.

Tomkin's Facial Feedback Theory pula lebih menekankan aspek "what causes what". Tomkin memberikan dua situasi yang mana kita gembira kerana senyum atau kita senyum kerana gembira. Tomkin berpendapat bahawa sebenarnya kita senyum kerana gembira dan bukan sebaliknya. Saya bersetuju dengan pendapatnya kerana lazimnya perkara-perkara yang menggembirakan kita akan membuatkan kita tersenyum. Sebagai contoh, kita tersenyum riang kerana berasa sangat gembira apabila mendapat hadiah daripada seseorang. Senyuman  yang ditunjukkan ketika itu menggambarkan bahawa diri kita dalam keadaan gembira.

Akhir sekali, teori Izard, Izard's Innate Facial Expression. Teori ini telah menjelaskan bahawa emosi manusia adalah bersifat semulajadi. Saya tertarik dengan kenyataan "born to smile". Ini diperjelaskan menerusi bayi yang tersenyum tanpa mengetahui apa-apa dan senyumannya itu tidak semestinya menggambarkan kegembiraan.

Kesimpulannya, emosi yang dialami oleh setiap individu tidak ditunjukkan hanya dengan satu cara. Yang bezanya ialah bagaimana emosi itu dialami dan dikawal bukannya bagaimana emosi itu dizahirkan.

No comments:

Post a Comment