Friday 23 July 2010

A133720 Nurul LJ01

    Setelah mengikuti kelas pengurusan emosi pada 21 Julai 2010 yang lalu, saya mulai faham apa itu emosi. Menurut Kleinginna, emosi ialah satu interaksi kompleks yang berlaku antara subjektif dan faktor objektif. Ramai yang berpendapat bahawa emosi adalah sama dengan perasaan namun setelah mengikuti kelas ini barulah saya tahu bahawa tanggapan itu sebenarnya tidak benar sama sekali. Sebetolnya, emosi tidak sama dengan perasaan bahkan perasaan hanyalah salah satu daripada komponen emosi. Terdapat empat komponen emosi iaitu pengalaman berkesan (affective experience), pemikiran kognitif (cognitive process), penyesuaian fisiologi (physiological adjustments) dan tingkah laku (behavior).
    Sesungguhnya, komponen-komponen emosi tersebut sering dialami oleh kita dalam kehidupan seharian sama ada kita sedar atau pun tidak. Sebagai contoh, saya baru sahaja kehilangan orang yang amat saya sayangi iaitu ibu saya. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 Februari 2010 yang lalu dan hari itu merupakan hari yang paling menyedihkan dalam hidup saya. Sesungguhnya peristiwa pahit itu tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Masih segar di ingatan saya suasana pada hari tersebut. Kami adik-beradik serta sanak saudara menangis mengenangkan pemergian orang yang kami sayangi. Lebih menyedihkan saya apabila mengenangkan adik bongsu yang ketika itu baru pandai merangkak dan belum mengetahui apa yang berlaku pada saat itu.
    Sejujurnya, saya tidak dapat mengawal emosi saya ketika itu. Perasaan saya antara sedih, hiba dan pilu bercampur menjadi satu. Gelap rasanya dunia saya ketika itu. Namun, mujurlah saudara mara sentiasa berada disisi dan memberi semangat untuk saya bangkit kembali.
    Ibu merupakan seorang insan yang amat saya sayangi, kagumi dan hormati. Memandangkan ibu saya seorang suri rumah, jadi sepenuh masanya diluangkan untuk kami sekeluarga. Ibu menjadi tempat saya bermanja, meluahkan masalah dan berkongsi cerita. Pendek kata ibu saya merupakan seorang 'sahabat' yang amat memahami diri saya dan beliau juga merupakan seorang pendengar yang setia. Jadi, sudah tentulah kehilangannya memberi kesan yang mendalam dalam diri saya. Walaupun jasadnya tiada disisi pada saat saya memerlukannya namun kenangan indah bersamanya akan sentiasa terpahat di ingatan dan namanya sentiasa di hati. Sekarang barulah saya sedar bahawa apa yang saya alami itu mengndungi kesemua komponen emosi yang telah saya pelajari dalam kelas ini.
    Sebelum ini saya kurang jelas apakah hubungan antara emosi dan motivasi. Namun, dalam kuliah pertama ini, pensyarah telah menerangkan perkara itu dengan panjang lebar dan akhirnya saya mulai faham. Menurut Boron dan Logan, emosi tidak dapat dipisahkan daripada motivasi. Namun, tidak semua keadaan emosi menjadi pendorong dan tidak semua pendorang berasaskan emosi. Sebagai contoh, Adam makan kerana dia lapar. Hal ini berlaku bukan didorong oleh emosi tetapi merupakan rutin harian kita. Sebagai contoh lain, pada suatu petang,saya bersiar-siar di taman dan terserempak dengan seekor anjing liar lalu saya melarikan diri tanpa berfikir dua kali. Hal ini berlaku kerana perasaan takut telah menguasai saya ketika itu dan tindakan yang saya ambil itu adalah tindakan yang telah didorong oleh emosi. Ini menjelaskan bahawa emosi bertindak sebagai motivasi kepada tingkah laku.
    Pernahkah anda terfikir apakah cara untuk kita mengukur emosi? Sebagaimana yang kita sedia maklum, suhu, berat dan tinggi boleh diukur dengan menggunakan skalanya yang tersendiri. Percaya atau tidak, emosi juga boleh diukur dengan beberapa cara. Antaranya ialah pemerhatian secara langsung (direct observation) dan laporan kendiri (self-reports) iaitu dengan cara menemubual atau menemuramah individu-individu tertentu. Sebagai contoh, kumpulan saya telah menemuramah beberapa orang tokoh dan bertanya bagaimanakah cara mereka menangani emosi. Maklumat-maklumat yang kami perolehi dikumpul dan dianalisis dan dari situlah kami membuat kesimpulan.
    Secara keseluruhannya, banyak yang telah saya pelajari dengan menghadiri kelas pengurusan emosi ini.

No comments:

Post a Comment