Friday 23 July 2010

A133661 Tiara LJ01


      Pada 14 Julai 2010 yang lalu saya telah menghadiri Kursus Pengurusan Emosi pada kali yang pertama. Saya memilih kursus tersebut kerana ingin mengenali cara menangani emosi dan mengetahui dimana serta bagaimana emosi ini dapat menyumbang kepada sesuatu kebaikan ataupun keburukan. Apa yang saya faham tentang emosi disini ialah ia merupakan satu kegiatan yang wujud melalui fikiran, perasaan, nafsu atau perilaku yang lain. Ramai yang mengaitkan emosi dengan perasan walhal perasaan hanya merupakan satu komponen daripada emosi itu sendiri. Terdapat beberapa perkara yang dapat dikaitan dengan emosi seperti pengalaman efektif (affective experiences), prosess konigtif (cognitive processes), penyesuaian fisiologi (physiological adjustments), dan juga tingkahlaku (behavior).

 

      Kebanyakan orang berfikir bahawa semua yang berlaku dalam minda kita dan tahap emosional kita adalah sesuatu yang tidak dapat dikawal bahkan terlalu susah untuk dikawal. Melalui pengalaman saya sendiri, terbukti agak sukar untuk mengawal emosi tersebut dalam sesuatu keadaan. Ini terjadi apabila saya kehilangan insan yang saya amat sayangi buat selamanya. Beliau adalah Allahyarham datuk sayayang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 1 Februari 2005. Ketika itu saya hanya berumur 14 tahun tetapi pada waktu saya telah mengenali erti ajal dan maut  setiap insan di muka bumi ini.

 

      Sejak saya lahir Arwah datuk saya yang telah menjaga saya memandangkan ibu bapa saya bekerja. Kemana pun saya pergi kami akan selalu bersama. Datuk saya selalu berpesan supaya jangan malas belajar dan harus kuat walau apa pun melanda. Hingga satu hari, datuk saya telah jatuh sakit. Tidak berdaya untuk berjalan, tidak makan dan minum serta sukar untuk berkomunikasi dengan kami semua. Ketika itu saya rasakan bertapa kosongnya hidup saya tanpa gelak tawa datuk saya. Semasa dia sakit tenat, saya selalu berada disisinya hinggalah dia menemui ajalnya. Sebak rasanya apabila melihat mayatnya diusung keluar dari rumah.

 

      Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu, kehilangan seseorang yang amat bermakna dalam hidup saya. Hampir seminggu saya tidak ke sekolah, menyendiri dan tidak bercakap dengan orang lain. Tetapi selepas beberapa bulan, saya mulai sedar bahawa datuk saya tidak akan kembali walau airmata darah saya tangiskan. Malah saya harus berdoa agar rohnya akan dicucuri rahmatNya. Dan alhamdulillah 5 tahun sudah berlalu saya kini sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia bergelar mahasiswi. Kalaulah datuk saya masih hidup, dialah orang pertama yang saya berkongsi tentang kejayaan saya ini.

 

      Dalam sesuatu situasi, emosi akan berjaya mengawal diri kita sendiri tanpa kita sedar. Pada pendapat saya, bukan mudah untuk kita mengawal emosi kita tetapi sebelum berbuat apa-apa keputusan atau kesimpulan sebaiknya kita berfikir sewarasnya adakah tindakan kita itu akan memberi kita kebaikan atau mudarat kelak hari. Mungkin jika kita berada dalam keadaan yang kritikal kita tidak sempat berfikir dan pelbagai jalan pintas kita akan ambil untuk lari daripada keadaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya anda harus ingat akan agama anda dan berpegang kepada ajaranNya, insyaAllah kita mampu menghadapi permasalahan kita itu dengan berkatNya.

No comments:

Post a Comment