Friday 23 July 2010

A133647 Fatin Ilyani LJ01

Assalamualaikum w.b.t..

         Tanggal 21 Julai 2010 bersamaan 12 Sya'ban 1431H, hari Rabu yang lalu, saya telah mempelajari sesuatu yang baru, iaitu emosi. Tajuk utama pada hari tersebut yang dipelajari ialah Pengenalan Kepada  Emosi. Pengenalan emosi terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu definisi, struktur dan ekspresi emosi serta pengalaman dalam emosi.


        Menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi dapat ditakrifkan sebagai satu set yang komplek dalam interaksi antara faktor subjektif (mempengaruhi kepercayaan seseorang berdasarkan fakta yang benar ) dan objektif (fakta atau situasi yang mempengaruhi implikasi dalam sesuatu perkara) yang dipengaruhi oleh sistem hormon.Emosi terbahagi kepada empat komponen utama, iaitu perasaan yang dialami, proses kognitif, perubahan fisiologikal dan tingkahlaku berkaitan.


       Dalam tajuk emosi dan motivasi pula, saya dapat pelajari yang emosi itu tidak boleh disamakan dengan perasaan. Perasaan merupakan salah satu elemen dalam emosi. Selain itu, emosi juga tidak dapat dipisahkan dengan motivasi. Menurut (Lang et al, 1992), emosi boleh dijadikan motivasi kepada tingkahlaku dan motif pula boleh menjadi emosional. Walaubagaimanapun, hanya dalam keadaan tertentu sahaja emosi boleh menjadi pendorong dan tidak semua pendorong berasaskan emosi.


       Dalam tajuk yang dipelajari, di sini, saya ingin berkongsi  cerita berkenaan pengalaman saya semasa saya berada di kolej matrikulasi dahulu.


      Jam ketika itu menunjukkan tepat pukul 11.00 malam. Kami para pelajar kolej matrikulasi telah dikumpulkan di dataran pelajar kerana menjalani latihan kebakaran. Kami bergegas untuk berkumpul di dataran pelajar tersebut. Kemudian, kami diberi taklimat oleh pegawai-pegawai bomba yang bertugas tentang bagaimana untuk menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran.


      Semasa sesi taklimat dijalankan, tiba-tiba seorang pelajar perempuan pengsan. Pelajar perempuan tersebut dibawa oleh felo-felo yang bertugas ke bahagian tepi dataran pelajar. 


      Tiba-tiba, saya dan semua yang berada di dataran pelajar tersebut dikejutkan dengan jeritan pelajar perempuan tersebut yang sangat nyaring. Rupa-rupanya pelajar perempuan tersebut telah dirasuk. Saya dan rakan-rakan berasa sangat takut.  Setelah beberapa ketika kemudian, semakin lama semakin ramai pelajar yang dirasuk. Terutamanya pelajar perempuan. Keadaan menjadi semakin teruk.


        Setelah melaungkan azan dan membaca ayat Kursi beberapa kali, pelajar yang dirasuk kian bertambah. Pelajar-pelajar yang dirasuk telah dibawa oleh felo-felo ke masjid untuk dipulihkan. Beberapa ketika kemudian, kami semua diarahkan untuk turut ke masjid untuk membaca surah Yaasin di masjid. Setelah beberapa kali membaca surah Yaasin, keadaan menjadi semakin pulih. Tetapi pelajar-pelajar yang dirasuk itu telah dibawa ke hospital berdekatan untuk diberi ubat penenang. Para pelajar yang lain diarahkan pulang ke bilik masing-masing dan membuat pedinding dalam bilik masing-masing. Ketika itu jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Saya dan rakan-rakan saya tetap berasa takut untuk balik ke bilik kerana bilik saya terletak di hujung kolej. Tetapi kami tabahkan hati untuk langkah pulang ke bilik masing-masing. 

 

Keesokan hari, selepas tamat kelas pada pukul 4.00 petang, saya dan rakan-rakan melalui kawasan masjid. Kami  terkejut apabila terdengar jeritan nyaring dari arah masjid. Rupa-rupanya, masih ada pelajar yang dirasuk pada hari tersebut. Tetapi tidak begitu ramai seperti pada malam yang menakutkan itu. Lebih dalam masa seminggu kami berada dalam keadaan takut kerana pada setiap waktu senja, pasti akan ada pelajar yang dirasuk.

Alhamdulillah. Setelah ustaz di kolej kami berjaya menguruskan masalah tersebut, kami tidak lagi diganggu. Tetapi, perasaan takut masih ada dalam diri.


Sebagai konklusi, saya berharap saya dapat mempelajari bagaimana untuk mengurangkan perasaan takut dalam diri saya kerana rakan-rakan sering mengatakan bahawa saya seorang penakut. Saya juga berharap semasa menghadiri kursus pengurusan emosi ini, saya dapat mempelajari bagaimana menguruskan pelbagai perasaan yang sering dialami oleh insane yang bernama manusia.



No comments:

Post a Comment