Thursday 29 July 2010

A133500 Ng Sin Mun LJ02

Pada hari Khamis yang lalu saya telah menghadiri kuliah Pengurusan Emosi sekali lagi. Topik kursus kali ini ialah struktur dan ekspresi emosi, di mana kami mengetahui beberapa teori yang menerangkan hubung kait antara emosi dan ekspresi muka di samping mengenali cara-cara emosi tersebut dapat ditunjukkan secara semula jadi dan merentasi pelbagai budaya. Semasa Dr. Ahmad Zamri, pensyarah kursus ini memperkenalkan cara mengingati teori-teori tersebut dengan menggunakan ayat "Pak Cik Tumbuk Izat, Izat Lari", terasa lucunya saya kerana teringat akan seorang senior yang bernama Izzat.

Sesetengah pakar berpendapat bahawa kelahiran emosi adalah secara semula jadi, iaitu sejak manusia wujud beribu-ribu tahun yang lalu. Mereka seterusnya mengasaskan teori-teori yang lain berdasarkan teori evolusi spesies Darwin ini. Dalam pendapat pakar-pakar termasuk Plutchik, Tomkin dan Izard, manusia mempunyai beberapa jenis emosi primari yang dikembangkan menjadi emosi lain yang lebih kompleks, namun jenis-jenis emosi asas tersebut tidak dapat ditakrifkan secara tepat dan justeru dikritik oleh pihak lain.
Walau bagaimanapun, emosi primari ini telah didefinisikan sebagai ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta ditunjukkan dalam bentuk yang seragam merentasi benua dan budaya. Contohnya, wajah senyum orang asli Afrika dan orang Malaysia adalah sama.

http://www.thedatingrulebook.com/wp-content/uploads/2010/03/smile.jpg

Plutchik seterusnya memperkenalkan Model Lapan Emosi, iaitu satu bulatan mengandungi lapan emosi primari yang menjadi asas kepada emosi-emosi yang lain. Beliau juga menerangkan dimensi emosi yang diukur dari segi intensiti, kesamaan dan kekutuban. Emosi juga dibahagikan kepada 3 jenis bahasa, iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsi. Misalnya, apabila seseorang itu terjumpa tikus, dia berasa takut (bahasa subjektif) dan seterusnya melompat (bahasa tingkah laku) untuk menjauhkan diri daripada tikus itu (bahasa fungsi).

Tomkin pula mencadangkan bahawa emosi itu bukanlah asas mimik muka,tetapi mimik muka itulah yang menimbulkan emosi. Apabila kita mengerut dahi, lantas kita merasa runsing. Dua kumpulan ahli kaji yang diketuai oleh Hess dan Zajonc telah mengesahkan teori maklumbalas Tomkin ini dengan menguji dari segi mental dan fizikal, justeru membuktikan bahawa mimik muka ini bukanlah emosi sepenuhnya tetapi juga sebahagian daripada cara komunikasi. Misalnya, apabila kawan kami berasa runsing dan menerangkan masalah yang dihadapinya, kami akan menunjukkan mimik muka prihatin supaya kawan tersebut faham bahawa kami sudi berkongsi kesedihannya.

Teori Ekspresi Muka Semulajadi Izard menerangkan bahawa emosi manusia adalah secara semula jadi dan proses pembelajaran dan pengalaman hanyalah menyumbang kepada pengaruh yang sikit terhadap penunjukkan emosi tersebut. Antara penyokong teori ini termasuklah Ekman yang telah membuat kajian di kalangan semua jenis kelas sosial di lima benua yang berlainan dan berjaya membuktikan bahawa mimik muka yang digunakan subjek untuk menunjukkan emosi tertentu adalah sama (iaitu mimik muka dan emosi adalah sejagat), tetapi budaya dan pengalaman hidup setiap subjek yang berlainan telah mempengaruhi intensiti emosi dan mimik muka subjek secara tidak langsung. Dalam jenis-jenis wajah yang berlainan, wajah gembira menjadi mimik muka dominan yang paling mudah dikenal pasti merentasi budaya dan etnik.

Kesimpulannya, empat teori di atas menegaskan bahawa emosi dilahirkan secara semula jadi dan proses pembelajaran hanyalah memainkan peranan yang kecil terhadap ekspresi emosi tersebut. Manusia dapat menunjukkan emosi yang berlainan walaupun menerima stimulus yang sama. Walaupun begitu, terdapat pakar lain yang berpendapat bahawa emosi ini adalah dipelajari. Contohnya Miller yang membuat eksperimen menggunakan tikus membuktikan bahawa tikus tersebut mempelajari tindak balas emosi takut selepas dikenakan kejutan elektrik. Pembelajaran takut ini juga boleh digunakan atas manusia. Teringatlah saya akan seorang kawan yang mahir menunggang basikal semasa kecil, tetapi fobia terhadap basikal dan motosikal pula selepas ditimpa kemalangan walaupun hanya dibonceng orang lain.

Walau bagaimanapun, emosi memainkan fungsi tertentu dalam psikologi dan aspek fizikal manusia, dan dapat dikawal dan diurus dengan cara tertentu. Misalnya, semasa mendengar kuliah, dikatakan bahawa angkasawan Malaysia, Dato' Syeikh Muzaphar bin Shukor seorang yang takut akan ketinggian, namun dapat mengatasi ketakutannya dan belayar di angkasa lepas. Terasa kagumnya saya terhadap Dato' kerana saya juga seorang yang gayat.

No comments:

Post a Comment