Thursday 22 July 2010

A133500 Ng Sin Mun LJ01




      Pada 21 Julai 2010 saya telah menghadiri kursus Pengurusan Emosi di Universiti Kebangsaan Malaysia. Saya memilih kursus ini kerana ingin mendalami ilmu yang berkaitan dengan emosi dan pengurusan emosi dalam menghadapi pelbagai keadaan. Setelah menghadiri kursus tersebut, saya rasa bersyukur kerana berpeluang menyertai kursus yang saya minati di samping menimba ilmu pengetahuan tentang emosi dan pengurusannya.

      Orang ramai menyangka bahawa emosi adalah sama dengan perasaan, padahal perasaan adalah hanya sebahagian dalam emosi. Emosi sebenarnya ialah interaksi yang lebih kompleks antara faktor subjektif dan faktor objektif, dan berfungsi menimbulkan perasaan (affective experiences), mencetus pemikiran (cognitive processes), menyesuaikan diri dari segi fisiologi (physiological adjustment) dan akhirnya mempengaruhi tingkah laku seseorang. Saya memahami definisi tersebut berdasarkan pengalaman sendiri yang biasa dialami bukan sahaja saya sendiri tetapi juga orang lain.

      Saya seorang yang suka mendengar muzik. Apabila saya mendengar muzik, saya biasa menyusun lagu-lagu secara 'random' merangkumi lagu yang paling disukai. Semasa lagu yang paling disukai itu mula dimainkan, saya mula berasa amat gembira (menimbulkan perasaan) kerana akhirnya sampailah giliran lagu yang diminati setelah menunggu sekian lama (proses pemikiran termasuk melabelkan sebab perasaan tersebut timbul). Tubuh badan saya yang dahulunya dalam keadaan tenang akan terasa 'aktif' seperti telah menjalani senaman serta daya pendengaran diperbaik (penyesuaian fisiologi), dan akhirnya saya akan mula menggerakkan tapak kaki sendiri mengikut rentak lagu tersebut (merupakan tingkah laku. Saya meminta maaf di sini tetapi memang inilah yang biasa dibuat semasa mendengar lagu.)

      Berdasarkan contoh di atas, terbuktilah bahawa perasaan bukanlah emosi tetapi hanya sebahagian daripadanya. Emosi merangkumi skop yang lebih luas daripada perasaan di samping boleh menjadi pendorong (motivator), misalnya keghairahan terhadap bola sepak telah mendorong orang ramai untuk bermain bola sepak dan mengenali Piala Dunia. Akan tetapi emosi bukanlah pendorong dalam semua keadaan kerana ada kalanya sesuatu perbuatan bukanlah disebabkan oleh motivasi tetapi motif. Kami minum air kerana berasa dahaga, perasaan dahaga bukanlah suatu emosi atau motivasi tetapi merupakan suatu motif semula jadi.

      Maka berakhirlah jurnal saya pada minggu pertama kuliah Pengurusan Emosi. Sebelum itu, bolehlah kawan-kawan klik pada link ini untuk menonton tarian 'flash mob' dalam negara kita yang juga didorong emosi ghairah.

No comments:

Post a Comment