Thursday 29 July 2010

A132529 Siti Nurliyana LJ02

Assalamualaikum saya ucapkan kepada Prof Ahmad Zamri bin Mansor selaku pensyarah kursus ZZZT2253 Pengurusan Emosi. Minggu ini merupakan kali pertama saya menghadiri kuliah Pengurusan Emosi setelah saya mendaftarkan diri untuk kursus ini.

Tatkala mendengar istilah pengurusan emosi, automatiknya orang akan terbayang jurusan psikologi atau sains kemanusiaan dan yang seiring dengannya. Oleh itu, saya sebagai pelajar jurusan kejuruteraan secara dasarnya tidak sesuai untuk mendukung subjek ini. Namun, ingin saya sangkal stigma ini kerana pengurusan emosi merangkumi keseluruhan aspek kehidupan kita sebagai umat manusia tanpa mengira latar belakang atau asal-usul.

Kuliah pada minggu ini membincangkan 'Struktur Asas Emosi' yang terbahagi kepada dua teori utama iaitu 'evolutionary/biological theory' dan 'learning theory'. Teori yang pertama termasuklah 'Darwin's Basic Theory of Emotion', 'Plutchik's Primary Emotion Theory', 'Tomkin's Facial Feedback Theory' dan juga 'Izard's Innate Facial Expression'.  Sepanjang kuliah tersebut, antara output yang saya dapati ialah pakar psikologi dan pengkaji-pengkaji dari dahulu hingga sekarang masih mempunyai perselisihan pendapat tentang emosi manusia. Di antara kempat-empat teori yang diutarakan oleh empat pakar itu, saya rasa lebih dekat dengan teori Plutchik yang mencadangkan tiga bahasa emosi iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkahlaku dan juga bahasa fungsian. Apa yang menarik tentang teori ini ialah kemampuannya untuk diaplikasikan dalam situasi harian seseorang.

Sebagai contoh, sekiranya seorang individu itu jatuh tersungkur di khalayak ramai, reaksi emosi yang mungkin dialaminya ialah perasaan malu (bahasa subjektif). Seterusnya individu itu mempunyai pilihan sama ada untuk menangis atau pun tersenyum lebar bagi melindungi perasaan malunya itu. Kedua-duanya merupakan contoh bahasa tingkahlaku atau susulan dari emosi yang telah dirangsang. Akhir sekali, pengalaman ini akan membuahkan bahasa fungsian dalam bentuk efek terhadap individu itu. Contohnya seperti keyakinannya jatuh atau mungkin juga menjadi lebih bersifat menerima keadaan seadanya.

Setelah menghadiri kelas Pengurusan Emosi sebentar tadi, minat saya dalam emosi manusia telah hidup kembali setelah sekian lama terkubur. Maka saya mengambil keputusan untuk melayari internet bagi mencari bahan bacaan yang menyentuh tentang konsep emosi bagi mengukuhkan pemahaman saya. Melalui internet, saya telah menjumpai beberapa fakta yang menarik seperti mengikut kajian Barbara L. Fredickson, seorang profesor psikologi di University of North Carolina, keadaan mental seseorang berkait rapat dengan emosinya. Sekiranya individu tersebut mengalami tekanan stres dalam jangkamasa panjang tanpa mengambil apa-apa inisiatif untuk membendungnya, beliau berisiko tinggi untuk menghidap penyakit seperti sakit jantung dan kelemahan sistem imunisasi badan. Oleh itu, kita haruslah memastikan emosi kita berada dalam keadaan terkawal.

Secara keseluruhannya, saya bersetuju dengan kebanyakan teori yang dipelajari tadi. Terutama sekali bagi konsep 'Learning Theory'. Teori itu menerangkan yang setiap emosi yang dirasai oleh manusia merupakan hasil pembelajaran dari pengalaman. Teori ini disokong oleh kajian yang dijalankan Miller dengan menggunakan tikus makmal sebagai bahan ujikaji. Dalam konteks contoh harian pula, emosi marah, sedih, meluat, gembira dan sebagainya hanya mampu timbul jika terdapat pencetus dalam bentuk pengalaman yang mampu mengenengahkan perasaan-perasaan ini dalam diri manusia.

Sepanjang masa hampir empat minggu saya berada di Universiti Kebangsaan Malaysia ini, saya telah mengharungi pelbagai emosi yang baru dalam diri saya. Ingin saya petik kata-kata Louise J. Kaplan yang berbunyi "Adolescence represents an inner emotional upheaval, a struggle between the eternal human wish to cling to the past and the equally powerful wish to get on with the future." Berdasarkan petikan ini, kita dapat mengkonklusi yang emosi adalah asas seorang manusia itu yang merangkumi masa silam kita dan juga masa hadapan.

 

No comments:

Post a Comment