Saturday 24 July 2010

A132245 Nur Hasshimaa LJ01

Sebagai manusia, setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan akan mengundang pelbagai emosi yang secara am nya sangat luas dan kadangkala tak mampu ditafsirkan secara lisan. Justeru, saya memilih untuk mengikuti kursus pengurusan emosi ini agar saya mampu untuk menguruskan emosi dengan baik dan mendorong kepada kehidupan yang lebih baik dan sihat.

Selama ini, saya menyangka bahawa perasaan membawa maksud dan pengertian yang sama dengan emosi. Namun, ternyata sangkaan saya merosot. Ini kerana, dalam kelas pengurusan emosi minggu ini, saya telah didedahkan dengan definisi sebenar emosi. Menerusi Kleinginna And Kleinginna (1981), emosi telah didefinasikan sebagai satu interaksi kompleks yang berlaku antara faktor subjektif dan faktor objektif  yang melibatkan sistem hormon dalam badan seseorang. Antara komponen-komponen emosi ialah pengalaman afektif atau lebih kepada perasaan yang dialami, justeru menghasilkan proses kognitif ataupun dikenali sebagai pemikiran, menghidupkan penyesuaian fisiologikal dan perubahan tingkah laku. Oleh itu, jelas ternyata  bahawa emosi itu tidak sama dengan perasaan, hal ini kerana perasaan merupakan salah satu komponen dalam emosi.

Maka, sangkaan saya selama ini telah direncah semula dan kini ianya lebih jelas. Ini kerana perkara ini sering berlaku dalam kehidupan kita tanpa disedari. Sebagai contoh, pengalaman saya sewaktu berada di sekolah berasrama penuh suatu masa dahulu. Ketika itu saya ingin menggosok pakaian dan jam ketika itu menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam. Memikirkan keadaan pagi esok yang pasti ramai orang menggosok dan tidak ingin beratur panjang, maka saya mengambil keputusan untuk turun ke bilik menggosok yang terletak bersebelahan dengan tandas. Ketika sedang menggosok, tiba-tiba saya terdengar suatu bunyi ketukan yang datang dari tingkap belakang bilik tersebut. Saya terus menjadi takut dan jantung saya berdegup kencang. Namun, saya tunggu untuk mendapatkan kepastian sama ada bunyi itu betul-betul wujud atau tidak. Tetapi apabila mendengar bunyi itu berulang, saya terus mengambil langkah seribu meninggalkan bilik itu dan mendapatkan kawan saya yang kebetulannya melalui bilik itu. Melalui peristiwa ini, ternyata terdapat keempat-empat komponen itu seperti, perasaan takut, jantung berdegup kencang menandakan perubahan fisiologi, dan perubahan tingkahlaku iaitu dengan melarikan diri.

Selain itu, emosi juga adalah sesuatu yang luas. Emosi itu mampu mendorong kepada sesuatu yang boleh memotivasikan. Maka, emosi dan motivasi seakan tidak boleh dipisahkan. Emosi mampu menjadi motivasi kepada tingkahlaku sesorang sebagai contoh, apabila kita sayangkan seseorang, kita akan terdorong untuk melakukan sesuatu yang boleh mnggembirakan insan tersebut. manakala, motif juga boleh menjadi emosional seperti perasaan dendam dan benci. Motif negatif ini boleh menjadikan emosi seseorang itu tidak terkawal dan mampu bertindak diluar jangkaan.

Walaubagaimana pun, tidak semua keadaan emosi boleh menjadi pendorong (motivator). Malah, tidak semua pendorong (motivator) berasaskan kepada emosi. Sebagai contoh, Adif memakan nasi tersebut kerana lapar. Ini menunjukkan bahawa adif mengambil makanan tersebut kerana keperluan hidupnya bukan kerana dorongan emosi. Manakala, bagi contoh ini pula, Mira yang sudah kenyang, masih sanggup untuk mengambil makanan sekali lagi kerana menerima ajakan suaminya yang mahu Mira menemannya makan. Ini jelas menunjukkan bahawa Mira mengambil makanan itu atas dasar emosinya yang sayangkan suaminya.

Tambahan lagi, melalui kelas ini, saya baru mendapat tahu bahawa emosi boleh diukur. Emosi boleh diukur melalui temuramah dan pemerhatian secara langsung. Namun ukuran emosi ini tidaklah setepat seperti ukuran berskala kerana emosi merupakan sesuatu yang sangat subjektif.  Malah, penilaian setiap individu terhadap emosi akan berbeza-beza.

Kesimpulannya, kelas minggu ini telah memberi banyak pendedahan baru kepada saya malah mampu memberikan pengetahuan yang lebih jelas tentang definasi sebenar emsosi  dan perbezaannya dengan perasaan. Saya menanti pengetahuan baru yang bakal ditimba dikelas yang akan datang.

 


No comments:

Post a Comment