Friday 23 July 2010

A130188 Rashidah LJ01

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia. Pengkuliahan pertama saya dengan Encik Zamri agak menarik kerana pembelajarannya pada hari tersebut memberikan sedikit impak kepada pengetahuan pemikiran saya. Pada  hari tersebut barulah saya mengetahui bahawa perasaan adalah salah satu komponen emosi. Pada sebelum pembelajaran ini, saya berasa emosi dan perasaan adalah sama namun selepas Encik Zamri memberitahu barulah saya tahu ia adalah sebaliknya. Melalui pengenalan pengurusan emosi pada pengkuliahannya yang kedua iaitu pada 21 Julai 2010, kami diajar mengenai definisi tentang emosi dan pengkaitan emosi dan motivasi.

Menurut  Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi merupakan satu set yang kompleks iaitu interaksi diantara faktor subjektif dan faktor objektif. Faktor subjektif di sini bermaksud faktor berasaskan kepercayaan diri berdasarkan fakta sebenar. Manakala faktor objektif pula adalah faktor atau situasi yang mempengaruhi hasil sesuatu keputusan. Terdapat empat komponen emosi yang melibatkan faktor subjektif dan objektif ini iaitu a feeling state (perasaan), cognitive process  (proses kognitif), physiological changes (perubahan fisiologi) dan associated behavior (tingkahlaku berkaitan). Keempat- empat komponen emosi ini adalah saling berkaitan. Perkaitan ini dapat dilihat melalui pengalaman saya sendiri iaitu apabila saya menyertai pertandingan pidato ketika zaman persekolahan menengah dahulu. Perasaan  yang berdebar-debar untuk menyampaikan pidato di hadapan pentas menunjukkan a feeling state berlaku. Oleh yang demikian saya akan berfikir bagaimanakah untuk mengatasi perasaan takut dan berdebar-sebar ini iaitu saya membaca sedikit ayat doa yang diajar oleh ibu saya untuk menghilangkan tekanan di kotak fikiran. Saya juga akan cuba untuk mengosongkan kotak fikiran saya dan memastikan fikiran saya hanya fokus kepada pertandingan pidato itu sahaja. Walaupun begitu, tangan saya tetap berpeluh dan dan jantung saya berdegup kencang menandakan saya begitu gugup untuk menyampaikan pidato. Namun demikian alhamdulillah, saya tetap naik ke pentas pertandingan lalu menyampaikan pidato itu dengan sebaiknya. Rezeki menyebelahi saya apabila saya memperoleh naib johan pada pertandingan tersebut.

Pembelajaran saya diteruskan lagi mengenai emosi dan motivasi. Apabila saya mengetahui yang sebenarnya perasaan adalah sebahagian daripada emosi, barulah saya mengetahui bahawa sebenarnya emosi ini sangatlah luas maknanya berbanding dengan perasaan. Hal ini kerana emosi boleh menjadi motivasi kepada penggerak tingkahlaku seseorang. Hal ini tidak dapat saya sangkal lagi kerana ia amatlah bertepatan dengan pengalaman saya sendiri walaupun ketika itu saya masih kecil lagi. Pengalaman yang saya maksudkan adalah keinginan saya untuk menonton cerita kartun Shin Chan. Keinginan untuk menonton cerita kartun ini menyebabkan saya sanggup mengayuh basikal dengan lajunya untuk memastikan saya sampai awal dirumah dan tidak ketinggalan cerita tersebut. Namun kadang kala motif menyebabkan seseorang menjadi emosional. Tindakan ini boleh dilihat apabila saya pulang dari rumah, dan kadang kala ibu saya akan menyuruh saya mandi terlebih dahulu dan barulah menonton televisyen, hal ini menyebabkan kadang kala saya merajuk dan menunjukkan protes terhadap ibu saya. Melalui pengalaman ini, dapatlah disimpulkan di sini bahawa emosi memang tidak dapat dipisahkan dengan motivasi. (Baron & Logan, 1993). Namun demikian, tidak semua emosi boleh menjadi pendorong. Sebagai contoh, saya sangat suka menonton drama korea namun saya tidak sanggup untuk berhabis duit untuk membeli VCD cerita tersebut kerana saya memikirkan faktor kewangan diri saya.  Saya berasakan agak membazir jika saya menghabiskan wang untuk membeli VCD tersebut dan saya boleh menggunakan wang tersebut untuk membeli buku pelajaran saya. Dalam hal ini, saya tidak membiarkan emosi saya menjadi pendorong kepada keinginan saya. Manakala tidak semua pendorong adalah berasaskan emosi. Sebagai contoh kita perlu minum air apabila dahaga namun motif ini bukanlah dipanggil sebagai emosi tetapi ini adalah fitrah secara semulajadi kerana manusia perlu minum air dalam kehidupan sehariannya.

Alhamdulillah, setakat ini dahulu perkongsian pengalaman saya mengenai apa yang saya faham mengenai pengenalan pengurusan emosi dalam pengkuliahan saya.

No comments:

Post a Comment