Friday 23 July 2010

A128123 Ruhil LJ01

Pada 21 July 2010 merupakan kali kedua saya mengikuti Kuliah ZZZT2253 Pengurusan Emosi. Kursus Pengurusan Emosi yang ditawarkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) begitu menarik minat saya untuk memilihnya sebagai  subjek pilihan bebas (PB).

  Pada hari ini saya didedahkan dengan pengenalan apa itu emosi dan  memahami bahawa emosi  merupakan dua perkara yang berbeza dengan perasaan. Dalam kuliah ini juga saya didedahkan dengan definisi emosi yang telah didefinisikan oleh Kleinginna And Kleinginna (1981) iaitu "Emosi merupakan interaksi yang kompleks antara faktor subjektif dan objektif". Subjektif di sini bermaksud ia dipengaruhi oleh kepercayaan peribadi dan berdasarkan fakta-fakta  yang nyata. Selain itu, interaksi yang kompleks antara faktor subjektif dan objektif ini memberikan pengalaman afektif, proses kognitif atau  pemikiran dan penyesuaian fisiologi seperti sesuatu yang mengarahkan kepada tindakan atau perilaku seseorang. Pandangan atau takrifan yang telah diberikan oleh Kleinginna And Kleinginna (1981) hampir tepat bagi menggambarkan keempat-empat komponen  tersebut dalam emosi manusia. Saya mengatakan pandangan ini hampir tepat kerana saya mempunyai pengalaman yang kronologinya hampir sama dengan komponen yang dinyatakan. Berdasarkan pengalaman beberapa bulan yang lalu, ketika berjalan di Super Market bersama rakan kami diekori oleh dua orang lelaki yang berpenampilan kurang kemas  dan nampak mencurigakan. Kami menjangkakan  mereka merupakan penyeluk saku yang biasa berkeliaran di kawasan tersebut. Perbuatan mereka yang mencurigakan dengan mengekori kami membuatkan kami berasa takut dan cemas sekali gus degupan jantung semakin kencang kerana bimbang dengan tindakan mereka. Kemudian, kami mengambil keputusan untuk mempercepatkan langkah dan berjalan di kawasan yang selamat. Oleh itu, saya merasakan keempat-empat komponen emosi yang di senaraikan oleh Kleinginna And Kleinginna ada kebenarannya berdasarkan kronologi pengalaman saya. Contohnya degupan jantung semakin kencang melibatkan perubahan fisiologi.

  Selain itu, pada kuliah tersebut saya juga didedahkan dengan hubung kait antara emosi dan motivasi. Seperti yang telah dikuliahkan, emosi mempunyai makna yang lebih luas daripada perasaan. Walau bagaimanapun, emosi dan motivasi tidak boleh dipisahkan.  Menurut pemahaman saya, emosi seseorang mendorong  individu tersebut bertindak. Emosi juga dikatakan sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional. Sebagai contoh, pengalaman rakan saya yang telah dikecewakan oleh teman lelakinya. Sarah merupakan seorang gadis yang lemah lembut, sopan dan cemerlang dalam pendidikan. Namun, pengalaman dikecewakan teman lelaki membuatkan Sarah berubah. Akibat daripada perasaan kebencian dan dendam terhadap  teman lelakinya membuatkan Sarah bertindak untuk mengecewakan lelaki lain. Bermula dari saat itu, Sarah berubah menjadi gadis yang liar, membuang masa berpeleseran dan bertemu janji dengan ramai lelaki. Baginya tindakannya itu membuatkan dia berasa puas dan dapat mengecewakan lelaki lain seperti mana dia telah dikecewakan. Oleh Itu, di sini jelas dapat dilihat emosi  Sarah yang terganggu membuatkan atau memotivasikannya untuk melakukan perkara yang sama kepada lelaki lain supaya mereka merasakan apa yang pernah dirasakannya suatu ketika dahulu. Tidak semua keadaan emosi menjadi pendorong atau motivator dan tidak semua pendorong berasaskan kepada emosi. Sebagai contoh, seseorang individu makan bukan kerana tuntutan emosinya, sebaliknya kerana lapar dan keperluannya untuk makan.

  Tambahan lagi, pada kuliah ini saya juga turut didedahkan sedikit sebanyak tentang bagaimana mengukur emosi. Saya menganggap emosi merupakan suatu perkara dan bukan barang atau benda yang boleh di ukur dengan tepat. Emosi dapat di ukur hasil daripada laporan verbal terhadap seseorang. Terdapat beberapa kaedah untuk mengukur emosi seperti melalui kaedah wawancara,borang kaji selidik dan pemerhatian secara langsung. Sebagai pelajar sains social saya pernah mengetahui salah satu cara atau sistem yang dapat membuktikan sama ada responden dalam sesuatu kajian didapati menipu atau tidak berdasarkan skala tertentu tetapi ia sebenarnya tidak mengukur emosi responden dengan tepat dan kadang kala ia tidak benar.

  Kesimpulannya, melalui kuliah ini saya dapat memahami beberapa perkara asas atau pengenalan tentang emosi seperti komponen, perbezaan emosi dan perasaan serta pengukuran emosi melalui beberapa kaedah yang diterangkan.

No comments:

Post a Comment