Friday 23 July 2010

A127559 NOR RAIHANA LJ01

Pertama kali saya mendengar tentang kursus ini, iaitu Pengurusan Emosi, saya sudah benar-benar tertarik untuk mengikuti kursus ini. Ini adalah kerana pada pendapat saya kursus ini sangat penting bagi seseorang individu. Bagi pengenalan berkenaan kursus ini yang baru diberikan baru-baru ini, iaitu berkenaan konsep emosi itu sendiri, konsep perasaan yang sering dikaitkan dengan emosi, kompenan-kompenan emosi, serta perubahan-perubahan yang berlaku pada seseorang apabila berlaku sesuatu pada saya amat bermakna. 
Dalam kuliah pertama ini saya dapat mengutip beberapa input yang dapat saya fahami tentang emosi. Emosi ini merupakan satu set kompleks yang subjektif. Emosi ini merupakan sesuatu yang sukar dijangka dan kadangkala sukar untuk difahami. Malah kerana emosi juga mampu untuk mempengaruhi pemikiran seseorang dalam melakukan apa sahaja keputusan. Oleh itu, seseorang individu perlu mahir dalam mengawal emosi agar sesuatu yang dilakukan tidak berdasarkan emosi semata-mata.
Selain itu, sebelum mengikuti kursus ini, saya sering mempunyai persepsi bahawa perasaan dan emosi itu merupakan satu perkara yang sama. Namun selepas melalui kuliah pertama, saya mula mengetahui bahawa perasaan dan emosi itu merupakan dua perkara yang berbeza. Perasaan itu sebenarnya merupakan kompenan dalam emosi.  Dalam pada itu, saya turut mendapat input bahawa emosi terdiri daripada empat kompenan, iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi, dan tingkahlaku. Proses kognitif ini boleh dikatakan sebagai kesan dan penilaian individu apabila berhadapan dengan emosi. Perubahan fisiologi pula adalah perubahan yang berlaku pada seseorang apabila berhadapan dengan sesuatu perasaan. Sebagai contoh apabila individu itu berasa gembira, dia akan ketawa, berasa sangat bahagia, dan sentiasa tersenyum. Jika individu berasa takut pula, dia akan berpeluh, dan jantungnya berdebar.
Dalam kuliah pertama ini juga, saya turut mendapat input tentang hubungan antara emosi dengan motivasi. Sesuatu yang dapat saya fahami dalam konteks ini ialah, seseorang akan mendapat motivasi atau pendorong apabila keadaan emosinya berada dalam keadaan yang baik. Sebagai contoh, apabila remaja berada dalam keadaan gembira dalam alam percintaan, mereka akan berasa semangat untuk belajar, sebaliknya remaja akan berasa putus asa apabila berpisah dengan pasangan. Dalam konteks ini, saya dapat fahami bahawa perasaan seseorang akan mempengaruhi tindakannya, malah emosi itu mampu memotivasikan seseorang. Walau bagaimanapun tidak semua emosi itu mampu menjadi pendorong pada seseorang. Seperti dalam contoh remaja yang berpisah dengan pasangannya, mereka akan mula hilang tumpuan pada pelajaran apabila berhadapan dengan situasi yang mengecewakan.
Sesuatu yang membuatkan saya berasa tertarik untuk mengikuti kursus ini apabila melalui kuliah pertama ialah saya mula mendapat banyak input yang berguna dan dapat saya manfaatkan dalam kehidupan. Sebagai seorang pelajar, anak, adik, kakak, sahabat, saya berdepan dengan banyak tekanan yang kadangkala menyebabkan saya berasa murung, sedih, dan kadangkala menyebabkan kesihatan saya terganggu. Pada pendapat saya pengetahuan tentang emosi adalah sangat penting kerana hanya kerana gagal mengawal emosi, seseorang akan melakukan pelbagai tindakan diluar batasan tanpa sedar. Ini dapat dibuktikan apabila pelbagai berita seperti jenayah dan gejala sosial yang begitu membimbangkan sekarang, dan seperti yang diketahui, masalah gejala sosial sering dikaitkan dengan tekanan yang dihadapi seseorang kerana sesuatu masalah seperti masalah keluarga.
 Secara peribadinya, saya merupakan seseorang yang lemah apabila berhadapan dengan tekanan, dan sering berasa tidak mampu untuk melawan tekanan yang hadir walaupun tekanan tersebut hanyalah tekanan yang kecil, dan diharap dengan kursus ini, saya akan menjadi seorang yang lebih bijak dalam mengawal emosi supaya sebarang keputusan yang bakal saya lakukan diambil dalam keadaan rasioanal.

No comments:

Post a Comment