Friday 30 July 2010

A127214 NUR HABIBAH LJ02

            Assalammualaikum dan selamat sejahtera. Bertemu lagi kita pada tugasan jurnal yang kedua pada kali ini. Pada khamis yang lepas, seperti yang kita sedia maklum, sambungan kuliah mengenai emosi telah pun dibincangkan bersama-sama yang dikelolai oleh Encik Ahmad Zamri Mansor mengenai Struktur Asas Emosi. Apakah yang dibincangkan dalam tajuk ini? Apakah yang perlu diberikan perhatian? Perhatian yang harus diberikan dalam tajuk pada kali ini ialah mengenai teori-teori emosi yang dikemukakan oleh beberapa tokoh-tokoh seperti Darwin, Plutchik, Tomkin dan Izard. Namun apa yang menariknya kuliah lepas  untuk saya bincangkan disini ialah mengenai teori Darwin, Plutchik dan Tomkin.

            Menurut Darwin, emosi terdiri daripada emosi asas ataupun kita kenali sebagai emosi primary. Emosi primari ialah ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspresikan dalam bentuk yang seragam pada semua bangsa dan budaya. ( Kokoszka, 1993). Kenyataan ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan Darwin dalam bukunya, "The Expression of the Emotions in Man and Animals", yang menyatakan ekspresi wajah melambangkan emosi. Hal ini kerana muka adalah senang dilihat, bukannya organ lain. Kenyataan yang diberikan oleh Darwin ini sangat tepat pada pandangan saya. Sebagai contoh kita dapat lihat muka seseorang itu apabila mereka berada dalam keadaan yang beremosi, sama ada gembira, sedih, terkejut, marah dan sebagainya melalui pancaran muka mereka sewaktu itu.

            Pendapat yang dikemukakan oleh Plutchik mengenai teori primary beliau pula adalah, emosi dapat dibahagikan kepada 3 bahasa iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkahlaku dan bahasa fungsian. Apa yang menarik minat saya disini ialah, teori yang diutarakan oleh Plutchik ini hampir serupa dengan maksud emosi yang telah kita pelajari pada minggu lepas. Oleh itu tidak hairanlah mengapa ekspresi emosi yang kita pamerkan akan melalui tahap-tahap sehingga kita akan bertindak melakukan sesuatu yang bertindak balas dengan emosi yang kita alami. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang terjatuh daripada menunggang basikal. Perasaan kanak-kanak tersebut pada ketika itu sedih (bahasa subjektif) kerana luka yang dialami. Kemudian mengalirkan air mata( bahasa tingkah laku) kerana menahan kesakitan yang dirasai dan bahasa fungsian ditonjolkan dengan meniup tempat luka yang dialami.

            Selain daripada itu, saya amat tertarik dengan dimensi yang diuar-uarkan oleh Plutchik, iaitu intensity, similarity dan polarity. Intensity membawa maksud darjah kekuatan emosi di mana perasaan bahagia bertukar menjadi gembira. Bagi pandangan saya bahasa tingkah  laku seseorang pada dimensi intensity ini mungkin daripada hanya beri senyuman,bertukar gelak ketawa dan tidak salah jika dikatakan bertukat kepada tindakan melompat kegirangan. Similarity pula di definisikan sebagai perkaitan. Pengalaman ini dapat menjelaskan maksud similarity yang diutarakan. Sebagai contoh, perasaan saya sewaktu mendapat tawaran ke Universiti. Saya berasa takut apabila memikirkan bahawa saya tidak dapat menyesuaikan diri di tempat baru dan sekaligus berasa sedih berjauhan dengan keluarga dan saya terpaksa berdikari dalam menguruskan diri sendiri. Keadaan ini jelas menunjukkan perkaitan diantara takut dan sedih lebih akrab hubunganya, jika ingin dibandingkan dengan perasaan takut dan gembira. Polarity pula membawa maksud kekutuban yang beerti lawanan kepada sesuatu. Sebagai contoh, baru lawannya lama.

            Menurut Tomkin pula, teori yang beliau kemukankan ialah  Teori Mimik Muka, yang menekankan What causes what. Menurut teori ini, sekaligus menjawab penekanan yang diberikan itu, Tomkin menyatakan senyuman yang diberikan adalah disebabkan seseorang itu ingin menunjukkan bahawa dia sedang gembira. Teori ini disokong oleh Ursula Hess & colleagues and Robert Zajonc & colleagues. Namun demikian, saya agak kurang bersetuju dengan teori yang  yang diberikan oleh Tomkin ini. Senyuman tidak hanya membawa erti kegembiraan. Bagi saya senyuman juga merupakan salah satu alat untuk berkomunikasi. Sebagai contoh dengan memberi senyuman pada seseorang yang baru dikenali merupakan langkah awal seseorang itu untuk berkenalan dengan lebih rapat dengan individu terbabit. Pandangan saya ini dikuatkan lagi dengan Teori Pembelajaran dan Pengalaman yang menyatakan emosi boleh dijelaskan melalui pandangan biologi dan pembelajaran. Contonya, kita lihat dari sudut biologi,  kesemua benda hidup dilahirkan mempunyai emosi. Ada perasaan marah, gembira, sedih dan sebagainya. Namun masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk mengawal, menunjukkan emosi-emosi tersebut. Manakala dari sudut pembelajaran pula, perasaan gentar atau takut kebanyakkannya ia lahir dariripada diri sendiri kerana seseorang itu lebih cenderung berasa takut terhadap sesuatu yang dia takuti. Sebagai contoh, perasaan takut pada ketinggian yang ditanam dari kecil.

            Kesimpulannya, emosi dapat diekspresikan melalui pelbagai cara. namun setiap individu mempunyai cara masing0masing dalam mengekspresikan emosi sebenar yang dialami. Namun teori- teori yang dikemukakan oleh tokoh diatas sedikit sebanyak membantu saya lebih memahami makna sebenar Struktur Asas Emosi individu. Sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment