Friday 30 July 2010

A127070 Sakinah LJ02

            Pada minggu lepas, kami ditugaskan untuk membuat jurnal berkaitan kuliah yang pertama iaitu tentang definisi emosi, komponen emosi, dan juga kaitan antara emosi dan motivasi. Permulaannya, saya merasa bimbang kerana tidak begitu paham dengan tugasan yang diberikan. Namun begitu, dengan tunjuk ajar rakan, saya berjaya juga menyiapkan jurnal untuk minggu pertama. Pada minggu kedua, kami telah diajar tentang tajuk baru pula oleh pensyarah kami iaitu Dr. Ahmad Zambri Bin Mansor. Kuliah pada minggu ini berkaitan dengan struktur asas emosi.

            Semasa mengikuti kuliah ini, kami telah didedahkan dengan maksud struktur dan ekspresi emosi. Terdapat beberapa asas emosi yang dikenali sebagai 'primary emotion'. Berdasarkan kuliah ini, saya mengetahui bahawa struktur dan ekspresi emosi adalah sebahagian daripada karakter semulajadi manusia. Saya bersetuju dengan kenyataan ini kerana manusia menyampaikan ekspresi muka secara spontan berdasarkan emosi-emosi teertentu yang dialami. Ia disampaikan dalam keadaan yang agak sama dalam budaya-budaya yang berbeza. Struktur dan ekspresi emosi mempunyai dua teori yang dikenali sebagai teori biologi dan teori pembelajaran.

            Mengikut teori biologi, pendapat diambil berdasarkan teori asas Darwin tentang emosi yang mengatakan bahawa emosi terdiri daripada emosi asas iaitu ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspresikan dalam bentuk yang seragam di semua bangsa dan budaya (Kokoszka, 1993). Dalam buku Darwin yang bertajuk "The Expression of the Emotions in Man and Animals", terdapat kenyataan bahawa ekspresi wajah melambangkan emosi (sebab muka adalah yang senang dilihat, bukannya organ lain). Saya bersetuju dengan pendapat ini kerana kebanyakan manusia tidak sedar bahawa mereka mempamerkan riak wajak atau ekspresi muka yang berlainan semasa mereka berada dalam situasi yang tertentu. Ekspresi muka tersebut biasanya berlaku secara semulajadi tanpa disedari oleh manusia. Bahkan, kita dapat mengenal pasti emosi seseorang berdasarkan ekspresi muka yang ditonjolkan sama ada orang tersebut dalam keadaan marah ataupun dalam keadaan gembira.

            Sebagai contoh, seseorang yang sedang bersedih biasanya akan mempamerkan ekspresi muka yang tidak bermaya dan kusam. Malahan, orang itu akan hanya mendiamkan diri semasa di samping rakan-rakan. Ekspresi muka yang ditonjolkan menjadi satu petunjuk kepada kita tentang emosi seseorang dan membolehan kita mengawal percakapan agar tidak menyinggung hati orang tersebut. Selain itu, seseorang individu yang sedang gembira juga mempamerkan ekspresi muka yang tertentu bersesuaian dengan emosinya pada ketika itu. Saya mengambil contoh di mana seorang ibu yang berasa sangat gembira apabila anak-anaknya memberi hadiah Hari Ibu yang istimewa sehinggakan ibu tersebut tidak berhenti tersenyum kerana terlalu girang. Sudah tentunya emosi ini tidak dapat disorokkan lagi kerana seorang ibu sentiasa mengharapkan dirinya dihargai oleh anak-anaknya. Di sini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa ekspresi muka seseorang dapat menjelaskan emosinya pada ketika itu.

            Di samping teori Darwin, kita juga dapat lihat tiga teori tokoh lain berkaitan teori biologi dalam struktur dan ekspresi emosi. Plutchik, Tomkin, dan Izard mempunyai pndangan yang sama tetapi sedikit berbeza tentang emosi primari. Di sini, saya hanya akan mengulas mengenai teori atau pandangan Plutchik's mengenai bahasa emosi. Terdapat tiga bahasa emosi iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku, dan bahasa fungsian. Bahasa subjektif adalah bahasa biasa iaitu takut, sedih dan sebagainya. Keadaan ini dapat dilihat pada setiap individu di dunia ini kerana sememangnya setiap manusia memiliki emosi. Bahasa tingkah laku pula ialah bahasa emosi yang digambarkan berdasarkan tingkah laku seperti pergerakan iaitu melompat kerana gembira, menangis kerana sedih, dan menjerit kerana takut. Manakala bahasa fungsian pula merujuk kepada bagaimana emosi itu berfungi terhadap seseorang. Ia juga merujuk kepada bagaimana emosi itu berperanan kepada individu. Sebagai contoh, seorang individu yang akan bertanding dalam pertandingan pidato mendapat keyakinan melalui bahasa fungsian 'berani'. Contoh yang lain juga dapat dilihat pada bahasa fungsian sedih yang merujuk kepada seorang kawan yang turut merasa sedih apabila kawannya mempunyai masalah.

            Kesimpulannya, saya telah mendapat ilmu yang sangat berguna pada kuliah kedua ini kerana saya didedahkan dengan teori-teori tokoh yang tertentu tentang struktur dan ekspresi emosi yang sememanya banyak membantu saya dalam memahami dengan lebih mendalam perkaitan antara emosi dan ekspresi wajah.


No comments:

Post a Comment