Friday 23 July 2010

A127070 SAKINAH LJ01

Pada hari khamis yang lepas, saya telah mengikuti kuliah pertama Pengurusan Emosi. Saya telah belajar tentang perkara-perkara asas dalam Pengurusan Emosi. Perkara-perkara berikut ialah definisi emosi, cara mengukur emosi, struktur dan ekspresi emosi, serta pengalaman tentang emosi. Menurut Kleinginna, emosi ialah set kompleks interaksi antara faktor subjektif dan objektif yang diperantarakan oleh sistem saraf. Saya bersetuju dengan definisi Kleinginna ini kerana emosi lahir daripada tindak balas subjektif iaitu pengaruh akibat kepercayaan seseorang individu berdasarkan fakta yang benar. Emosi juga lahir daripada faktor objektif iaitu berdasarkan fakta atau situasi yang mempengaruhi sesuatu keputusan.

 

Selain itu, saya juga telah mendapat input yang banyak dari pembelajaran tentang komponen yang terdapat dalam emosi. Secara umumnya, terdapat empat komponen emosi iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi, dan juga tingkah laku yang berkaitan. Berdasarkan kesemua faktor tersebut, saya dapat mempelajari bahawa emosi seseorang bertindak balas dengan situasi yang dialami atau bertindak balas dengan sesuatu kebenaran yang diketahuinya. Melalui pengalaman saya, saya dapat mengaitkan empat komponen emosi tersebut. Pengalaman saya semasa mengambil keputusan peperiksaan STPM dapat menunjukkan bahawa emosi seseorang akan berubah mengikut situasi.

 

Pada tahun lepas, saya telah ke sekolah bersama rakan-rakan untuk mengambil keputusan peperiksaan STPM. Kami sampai di sekolah pada pukul 10 pagi, sedangkan keputusan peperiksaan biasanya akan sampai di sekolah pada pukul 12 tengah hari. Namun, disebabkan rasa ingin tahu dan tidak sabar, kami datang awal dan duduk di kantin sambil menunggu pengetua sekolah sampai. Semasa menunggu, perasaan saya sangat berdebar-debar kerana saya berasa takut dengan realiti yang akan saya ketahui pada hari itu. Sememangnya, saya sering berfikiran positif dalam semua perkara tetapi pada hari itu, segala kemungkinan bermain di fikiran. Perasaan takut dan bimbang bermain di fikiran kerana saya memikirkan akibat sekiranya saya tidak mendapat keputusan yang yang baik seperti yang saya harapkan.

 

Pada pukul 12.30 tengah hari, pengetua kami masih belum sampai di sekolah. Kami mula gelisah dan tidak sabar-sabar untuk mengetahui keputusan kami. Akibat perasaan tidak sabar, saya telah memeriksa keputusan peperiksaan saya menggunakan khidmat pesanan ringkas (sms) secara diam-diam. Saya merasa berdebar-debar dan bimbang semasa menunggu maklum balas. Dada saya berdegup dengan kencang sambil menunggu, sehinggakan kawan-kawan merasa pelik dengan tingkah laku saya yang seakan gelisah. Kemudian, saya mendapat satu mesej. Saya terus membacanya untuk mengetahui keputusan saya. Sebaik sahaja saya membaca keseluruhan mesej tersebut, saya terkejut lalu tersenyum. Tanpa saya sedari, saya telah bangun dari kerusi sambil melompat kegirangan dan melaung "Aku dapat 3A!". Kawan –kawan saya terkejut tetapi dalam masa yang sama mengucapkan tahniah.

 

Berdasarkan pengalaman saya tersebut, saya dapat melihat perbezaan komponen-komponen dalam emosi. Komponen pertama dalam emosi iaitu perasaan takut dapat dilihat ketika saya baru sampai di sekolah. Komponen kedua pula iaitu proses kognitif dapat dilihat semasa saya merasa takut menunggu kedatangan pengetua dan mengambil inisiatif lain untuk menghilangkan rasa takut tersebut iaitu dengan memeriksa keputusan melalui khidmat pesanan ringkas. Perubahan fisiologi dapat dilihat semasa saya berdebar-debar menunggu maklum balas, jantung berdegup dengan pantas dan merasa gelisah. Akhirnya, keadaan saya yang melompat kegirangan kerana mendapat 3A adalah tingkahlaku yang terhasil akibat perasaan gembira saya.

Pada kuliah yang pertama ini juga, saya telah belajar tentang perkaitan antara emosi dan motivasi. Melalui kuliah ini, saya telah mendapat input yang berguna bahawa emosi mempunyai hubungan dengan motivasi. Perkaitan antara emosi dan motivasi adalah satu perkara di mana seseorang individu cenderung untuk melakukan sesuatu perkara akibat emosi. Menurut Baron dan Logan 1993, emosi juga tidak boleh dipisahkan dengan motivasi. Manakala menurut Lang et al, 1992, emosi merupakan motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional. Contoh yang boleh dikaitkan dengan kaitan antara emosi dan motivasi ialah motif rompakan iaitu seseorang cenderung untuk merompak untuk mendapatkan wang dan juga kerana dendam(emosi) terhadap orang yang dirompak tersebut. Namun begitu, tidak semua keadaan didorong oleh emosi. Sebagai contoh, saya berusaha untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang untuk memudahkan saya mendapat kerja yang baik bagi membalas jasa ibu dan bapa yang telah banyak membantu saya selama ini.

 

Kesimpulannya, saya telah mendapat maklumat yang berguna daripada kuliah Pengurusan Emosi yang pertama. Malahan, kebanyakan maklumat yang disampaikan merupakan perkara yang belum saya ketahui dan saya merasa sangat bersyukur kerana mengambil kursus ini pada sem ini. Sekurang-kurangnya, saya berpeluang untuk mengawal emosi saya. Sekian, terima kasih. =)


No comments:

Post a Comment