Friday 30 July 2010

A124901 NURUL LJ02

Dalam kuliah Pengurusan Emosi pada minggu ini, kami telah mempelajari tentang struktur dan ekspresi emosi secara lebih mendalam berdasarkan empat teori utama iaitu Darwin's basic theory of emotion, Plutchik's Primary emotion theory, Tomkin's facial feedback theory, Izard's innate facial expression dan Learning theory. Banyak perkara baru berkaitan emosi yang kami pelajari melalui teori-teori ini.

Setiap teori mempunyai pencirian dan penerangan yang berbeza mengenai emosi. Dalam teori Darwin menekankan bahawa emosi terdiri daripada emosi asas. Teori Plutchik pula mengklasifikasikan emosi ke dalam beberapa jenis bahasa iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkahlaku dan bahasa fungsian. Terdapat juga huraian mengenai asas reaksi dan dimensi emosi dalam teori ini. Teori Tomkin mempunyai pecahan yang lebih mendalam berkaitan dengan reaksi muka yang mempamerkan emosi sebagai reaksi kepada perkara-perkara tertentu. Begitu juga teori Izard yang juga menyentuh mengenai ekspresi dan memek muka.  Dan yang terakhir ialah teori learning yang mana mempunyai dua cabang iaitu pengalaman pandangan biologi dan pengalaman pandangan teori belajar.

Dalam keempat-empat teori ini, saya sangat berminat atau lebih tepatnya saya sangat bersetuju dengan teori Tomkin, iaitu Tomkin's facial feedback theory. Berbanding dengan teori-teori lain, teori ini lebih mudah dibuktikan dan ternyata tepat. Hal ini kerana, muka mudah menunjukkan maklum balas terhadap emosi dalaman individu. Sebagai contoh, apabila seseorang itu gembira, secara automatik, mereka akan ketawa atau pun tersenyum. Orang lain mampu mengenalpasti perasaan dan emosi mereka ketika itu dengan melihat memek muka.  Pada pendapat saya, selalunya memek muka terhasil akibat ransangan emosi hingga terpamer riak muka yang menunjukkan emosi tersebut, berbanding emosi hadir kerana mimik muka. Namun terdapat juga, bila melakukan sesuatu, emosi mahu pun perasaan datang kemudian. Ada juga yang berasa gembira kerana tersenyum.  Oleh kerana itu, dalam komunikasi, reaksi atau mimik muka sangat penting kerana pihak sebelah dapat mentafsir perasaan dan emosi kita sewaktu sedang berkomunikasi. Ia juga mampu mempengaruhi perjalanan komunikasi tersebut. Namun begitu, tidak semua keadaan yang mana reaksi dan mimik muka menunjukkan emosi sebenar individu tersebut. Hal ini kerana, terdapat individu yang cenderung untuk tidak mempamerkan emosi mereka melalu mimik muka, sebaliknya memendam. Ada yang tersenyum, tapi hakikatnya mereka sedang bersedih.

Selain itu, dalam teori Plutchik, terdapat tiga jenis bahasa emosi yang dibincangkan iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku, dan bahasa fungsian. Ketiga-tiga bahasa ini saling berkait rapat antara satu sama lain. Sebagai contoh, kita akan menangis kerana sedih apabila sahabat karib kita akan berpindah ke luar negara. Perasaan sedih itu menunjukkan bahasa subjektif. Menangis mengalirkan air mata adalah bahasa tingkah laku. Kita berasa sedih kerana keakraban persahabatan tersebut membuatkan hati kita berat untuk melepaskan, yang mana ini membawa maksud bahasa fungsian. Ketiga-tiga perkara ini sememangnya saling berkait rapat dalam emosi. Pernah jua saya melompat keriangan dek terlalu gembira dengan keputusan peperiksaan yang amat memberangsangkan. Hasil yang cemerlang ini diperoleh dengan usaha yang keras. Bahasa subjektif bagi kes ini adalah gembira, bahasa tingkah laku ialah melompat kegembiraan dan bahasa fungsian adalah usaha keras untuk mencapai kejayaan. Di sini, saya dapat menyimpulkan, emosi dan perasaan memang berkait rapat dengan ketiga-tiga bahasa di atas yang mana akan ada subjektif, tingkahlaku, dan fungsian dalam mengenalpasti emosi.

Terdapat banyak teori yang berkaitan dengan struktur emosi seperti yang telah disebutkan. Setiap teori ada benarnya dan saling berkait rapat. Dan emosi serta reaksi mahu pun ekspresi wajah amat berkait rapat antara satu sama, walaupun adakalanya tidak semua ekspresi wajah menunjukkan emosi sebenar individu tersebut dan ini merupakan perkara yang agak penting dan dititikberatkan dalam komunikasi.


No comments:

Post a Comment