Friday 23 July 2010

A123147 Syuhaidah LJ01

Kuliah pada minggu kedua bagi kursus Pengurusan Emosi ini adalah mengenai pengenalan kepada emosi. Perbincangan dalam kuliah kali ini meliputi aspek tentang definisi emosi dan komponen emosi, perkaitan antara emosi dan motivasi serta cara untuk mengukur emosi.

 

Komponen emosi adalah terdiri daripada afektif (perasaan), kognitif (pemikiran), fisiologi dan tingkah laku. Emosi dapat menimbulkan pengalaman afektif seperti mendatangkan suatu perasaan tentang kegembiraan, ketakutan, kemarahan, kebencian dan kesedihan. Selain itu, emosi juga menghasilkan proses kognitif seperti penilaian terhadap sesuatu perkara. Di samping itu, emosi turut mencetuskan perubahan fisiologi dalam diri seseorang. Seterusnya, emosi yang dialami akan memimpin kita kepada tingkah laku yang berkaitan.

 

Suatu peristiwa yang ingin saya kongsikan berdasarkan komponen emosi ini ialah mengenai kemalangan yang berlaku kepada ayah saya ketika saya berumur 12 tahun. Deringan telefon yang berbunyi pada petang tanggal 15 Ramadhan itu disambut oleh kakak. Sebaik sahaja menjawab panggilan yang diterima daripada insan yang menolong membawa ayah ke hospital, saya dapat melihat kakak menangis dan terus terduduk. Kakak yang kelihatan terkejut dan menjadi sebak menerima berita tersebut tidak dapat memberitahu kami sekeluarga tentang perkara yang berlaku. Melihat keadaan tersebut abang terus menyambut panggilan itu. Kegelisahan dan ketakutan mula timbul dalam diri saya apabila melihat keadaan itu. Perasaan saya mula menjadi tidak tenteram. Pelbagai andaian timbul dalam diri saya ketika itu. Jantung saya mula berdegup kencang serta saya mula berpeluh mendengar perbualan abang di telefon. Sebaik sahaja abang meletakkan ganggang telefon dan memberitahu ayah ditimpa kemalangan, air mata saya terus mengalir laju kerana telah menjangkakan perkara buruk berlaku kepada ayah.

 

Seterusnya ialah kita lihat pula perkaitan antara emosi dan motivasi. Emosi boleh menjadi sumber tenaga kepada motivasi. Menurut Sternberg (1997), walaupun motivasi dan emosi mempunyai beberapa persamaan, namun kedua-duanya juga berbeza dalam beberapa aspek. Contohnya, ransangan yang menggerakkan emosi secara umumnya dapat diperhatikan. Manakala ransangan yang menggerakkan motivasi secara umumnya tidak dapat diperhatikan contohnya lapar. Selain itu, emosi mungkin mengganggu aktiviti seharian atau mungkin membawa kepada perubahan dalam aktiviti. Hal ini berlainan dengan motivasi iaitu motivasi dapat memberi tenaga, mengarah dan atau meningkatkan aktiviti manusia.

 

Perkaitaan antara emosi dan motivasi yang ingin saya coretkan disini ialah tentang pengalaman saya menyertai Wilderness Adventure Program di Pulau Tuba, Langkawi. Seminggu sebelum cuti persekolahan guru kelas saya telah bertanyakan sama ada kami berminat untuk menyertai program tersebut. Saya pada mulanya ragu-ragu untuk turut serta kerana saya ingin bercuti di tempat lain, tetapi setelah dipujuk (ransangan) oleh rakan sekelas saya bersetuju. Emosi saya mula berubah daripada ragu-ragu kepada bersetuju kerana ajakannya yang bersungguh-sungguh. Namun begitu, saya turut berminat untuk mengikuti program ini kerana turut didorong dengan motivasi daripada dalaman diri saya sendiri (motivasi intrinsik) yang kuat untuk mencari pengalaman dan menambah pengetahuan.

 

Sepanjang perjalanan berada di dalam feri dari jeti Kuala Perlis, emosi saya sedikit terganggu kerana bimbang memikirkan aktiviti yang akan dijalankan selama seminggu dalam hutan. Namun, motivasi dalam diri saya untuk menimba pengetahuan dan merasai pengalaman berada dalam hutan tanpa mandi selama seminggu membangkitkan semangat saya semula. Setelah mengikuti pelbagai aktiviti mencabar yang dijalankan dalam program ini, ternyata ia memberikan pengalaman yang amat bermakna bagi saya. Pelbagai emosi yang saya rasai sepanjang aktiviti berjalan seperti gembira, takut, malu, sedih dan perasaan bersalah. Namun, permainan emosi yang dirasai sepanjang aktiviti yang dijalankan menjadikan saya dan kebanyakan peserta lain lebih bermotivasi dan bersemangat. Oleh itu, seseorang itu mestilah berupaya mengawal emosi dengan baik dan motivasi diri yang tinggi. Hal ini disebabkan individu yang bermotivasi diri yang tinggi sentiasa akan berasa bertenaga dan merasakan kehebatan yang amat berbeza untuk mencapai matlamat yang diidamkan. Jadi, kita dapat melihat sememangnya emosi boleh dikatakan saling berhubungan rapat dengan motivasi.


No comments:

Post a Comment