Friday 23 July 2010

A122963 Norhafizatulahwa LJ01

Minggu kedua mengikuti kuliah Pengurusan Emosi. Pada minggu ini, pensyarah telah memperkenalkan kami dengan pelbagai input berkaitan emosi. Antaranya seperti bagaimana kita mendefinisikan emosi, komponen-komponen yang terdapat dalam emosi, hubungan emosi dan motivasi, bagaimana untuk mengukur emosi dan sebagainya. Dalam catatan pada kali ini, saya akan menyentuh tentang komponen-komponen yang terdapat dalam emosi. Hal ini kerana ramai yang masih keliru sama ada emosi adalah sama dengan perasaan. Pada hakikat sebenarnya, perasaan hanyalah salah satu daripada komponen emosi. Perasaan yang dirasai akan berkait dengan komponen-komponen emosi yang lain seperti pemprosesan kognitif (pemikiran), perubahan fisiologi, dan akhirnya akan mempengaruhi tingkahlaku seseorang. Sebagai contoh, apabila kita berada dalam keadaan takut atau cemas (perasaan), secara automatik otak akan mentafsir perasaan yang kita alami ketika itu (proses kognitif) dan kita akan cenderung untuk bertindak seperti melarikan diri dari situasi yang menakutkan tersebut (tingkahlaku). Ketika kita dalam keadaan melarikan diri, struktuk fisiologi badan juga turut berubah seperti kita akan mengeluarkan peluh yang banyak, jantung berdegup dengan sangat kencang dan sebagainya (perubahan fisiologi). Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa perasaan hanyalah salah satu daripada cara kita mentafsirkan emosi kita sahaja.

            Seterusnya, saya berminat untuk mengupas tentang hubungan emosi dan motivasi. Seperti yang kita ketahui, emosi dan motivasi adalah berhubungan rapat dan kedua-duanya adalah sukar untuk dibezakan. Menurut Baron dan Logan (1993), emosi tidak dapat dipisahkan daripada motivasi.  Pada pandangan saya, pernyataan tersebut adalah tepat kerana kedua-duanya lahir dalam diri kita sendiri sebagai respon terhadap sesuatu. Menurut pengalaman saya sendiri ketika mengikuti kursus PLKN beberapa tahun yang lalu, saya pada mulanya tidak menyukai program tersebut dan berasa amat sedih untuk berpisah dengan keluarga selama beberapa bulan. Tambahan pula, saya tidak mengenali sesiapa dalam kem tersebut. Saya berasa amat sedih dan tertekan. Tetapi lama-kelamaan setelah saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru serta dapat mengenali ramai kawan dan melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan, perasaan tidak suka yang dialami saya telah bertukar menjadi suka dan saya amat gembira untuk meneruskan program tersebut hingga ke akhirnya. Di sini, dapatlah kita lihat bahawa jika ada sesuatu yang mendorong kita melakukan perkara yang tidak pernah kita fikirkan maka sudah pasti kita akan dapat melakukannya dan kita tidak akan sesekali merasa kecewa di atas setiap keputusan yang telah kita buat.

            Walaupun emosi adalah sesuatu yang subjektif namun emosi juga dapat diukur. Persoalannya di sini ialah bagaimanakah untuk kita mengukur emosi? Sesungguhnya terdapat pelbagai cara untuk kita mengukur emosi. Kemajuan dalam bidang psikologi misalnya banyak menemui cara untuk kita mengukur dan menjelaskan emosi seseorang. Antaranya ialah dengan memperkenalkan Laporan Kendiri (self-report) untuk mengetahui perasaan seseorang. Kaedah-kaedah yang biasa digunakan dalam Laporan Kendiri ialah temubual, soal selidik dan teknik pemantauan diri. Selain itu, emosi juga dapat diukur melalui pemerhatian secara langsung, pengukuran fisiologi badan dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, setiap pengukuran tersebut mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri dan kita sebagai manusia biasa pada hakikatnya tidak dapat menilai emosi seseorang 100 peratus. Kadang-kadang kita hanya dapat menilai secara luarannya sahaja tetapi secara dalamannya hanya orang yang merasainya sahaja dapat mengetahui.   

            Konklusinya, emosi yang dialami oleh manusia akan berubah-ubah secara berterusan. Ada ketikanya emosi boleh menjadi positif dan ada ketikanya juga boleh bertukar negatif pada bila-bila masa sahaja. Tetapi terpulanglah kepada manusia tersebut bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan keadaan emosi yang dialami. Jika mereka menjadikan emosi yang dirasai sebagai sesuatu yang sentiasa positif kepada mereka maka mereka akan berada dalam keadaan yang baik dan gembira manakala jika mereka sentiasa menganggap emosi negatif yang dialami sebagai suatu beban dalam hidup maka sudah pasti ketenangan dan kepuasan hidup tidak akan dapat dicapai.


No comments:

Post a Comment