Friday 23 July 2010

A121741 MAS AYU LJ01


Manusia adalah makhluk sosial. Setiap hari kita pasti akan berinteraksi dengan orang lain sama ada secara formal atau tidak formal. Elemen emosi memainkan peranan penting dalam penyampaian mesej semasa komunikasi. Eksperesi muka, bahasa badan dan tingkahlaku mencerminkan reaksi individu. Memahami emosi orang lain dapat membantu kita untuk bertingkahlaku sesuai dengan keadaan. Jika kita seorang pemimpin atau seorang pekerja kita mestilah bijak untuk menguruskan emosi. Hal ini berkait rapat dengan sikap professional. Sebagai seorang mahasiswa, saya melihat komponen pengurusan emosi sebagai aspek yang penting dalam kemahiran interpersonal yang patut ada dalam diri individu. Hal ini menjadikan Kursus Pengurusan Emosi menjadi pilihan saya untuk didaftarkan sebagai kursus elektif.

Minggu ini adalah minggu kedua kuliah Pengurusan Emosi. Saya belajar tentang definisi emosi, komponen emosi, kaitan emosi dan motivasi serta cara untuk mengukur emosi. Semasa dalam kuliah ini pensyarah ada bertanya kepada kami, " adakah emosi dan perasaan adalah sesuatu yang sama atau sesuatu yang berbeza?". Jawapannya, masih ramai yang keliru tentang dua perkataan ini. Boleh saya katakan di sini dua perkataan ini hampir sama tetapi tidak serupa. Kedua-dua mempunyai saling kaitan. Perasaan adalah subset kepada emosi. Perasaan takut, gembira, marah, sedih dan benci merupakan sebahagian daripada komponen emosi. Emosi juga berkait rapat dengan motivasi individu. Aspek kognisi seperti persepsi turut memainkan peranan penting dalam reaksi emosi seseorang individu. Kerangka minda atau elemen kepercayaan yang terdapat dalam diri individu berfungsi sebagai agen kognitif. Kepercayaan ini mungkin diperoleh melalui pengalaman peribadi, persekitaran, norma masyarakat, pembacaan atau berdasarkan fakta yang diperolehi dari pelbagai sumber.

Selain kognitif, aspek fisiologi juga memainkan peranan penting dalam mengambarkan emosi. Sebagai contoh apabila kita takut, jantung dan nadi kita akan berdenyut kencang, bulu roma kita tiba-tiba meremang dan kita akan berpeluh tanpa melakukan aktiviti lasak. Hal ini mengambarkan kita berada dalam satu situasi bahaya. Reaksi fisiologi yang berlaku dalam diri kita memberi amaran kepada anggota badan supaya bertindak. Pada masa ini kita berada pada suatu keadaan yang sering diistilah sebagai "fight or flight", lawan atau lari. Deria kita akan menghantar  maklumat ke otak atau saraf tunjang untuk bertindak balas. Jika sel yang terdapat pada deria ini mengesan bahaya biasanya tubuh kita akan bertindak secara automatik. Sebagai contoh apabila kita dikejar anjing. Apabila mata kita mengesan bahawa kita telah dikejar anjing, secara automatik, dengupan jantung akan meningkat.  Pada masa itu pastinya kita akan berlari selaju mungkin untuk menyelamatkan diri. Perasaan takut digigit anjing menyebabkan kita mampu lari lebih laju daripada biasa. Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa komponen fisiologi juga memainkan peranan dalam menjelaskan komponen emosi. Kelajuan larian kita meningkat disebabkan oleh faktor motivasi untuk menyelamatkan diri. Tenaga luar biasa mampu dijana apabila kita berada dalam keadaan bahaya.

Memahami emosi orang lain bergantung kepada beberapa kaedah. Emosi ada yang dapat dilihat secara lansung (overt) atau tidak lansung (covert). Sebagai contoh kita tahu orang itu menjerit atau menangis kerana takut atau sakit. Biasanya reaksi itu melibatkan sakit luaran. Jika kesakitan atau kesedihan bersifat dalaman seperti putus cinta. Individu biasanya cenderung memendam rasa sebagai suatu reaksi helah bela diri. Terdapat beberapa cara untuk mengukur emosi individu antaranya melalui teknik temubual, borang soal selidik  dan pemerhatian secara lansung. Walaubagaimana pun setiap individu harus meneliti aspek sosial budaya sesuatu tempat yang dinilai supaya tidak berlaku bias atau salah anggapan tentang sebab reaksi emosi berlaku.

Kesimpulannya, berdasarkan kuliah lepas saya dapat memahami bahawa perasaan dan emosi adalah sesuatu yang berbeza tetapi saling kaitan. Perasaaan adalah sebahagian daripada emosi. Emosi boleh dibahagikan kepada empat komponen iaitu perasaaan, kognitif, fisiologi dan tingkahlaku. Emosi boleh memotivasikan tingkahlaku namun tidak semua keadaan emosi menjadi faktor pendorong. Reaksi emosi boleh dinilai berdasarkan teknik temubual, borang soal selidik dan pemerhatian secara lansung.

No comments:

Post a Comment